Los Angeles: Individu menipu seorang wanita berusia 63 tahun, di sini, sehingga mangsa menyangka menjalinkan hubungan romantik dengan artis popular Sepanyol, Enrique Iglesias.
Guadalupe Cepeda yang menjadi peminat Enrique Iglesias selama lebih dua dekad teruja apabila individu disangka penyanyi lagu ‘Bailamos’ itu, tiba-tiba menghubunginya di media sosial, lapor Oddity Central.
‘Enrique’ kononnya menemui Guadalupe melalui sebuah kumpulan peminat dalam talian.
Apa yang menghairankan, dia langsung tidak mengesyaki apa-apa apabila lelaki yang menjadi idaman jutaan wanita itu memilihnya untuk menjalin hubungan secara maya.
‘Hubungan’ mereka bermula dua tahun lalu dan walaupun sudah berkahwin dengan lelaki lain, Cepeda percaya bahawa suatu hari nanti dia akan berkahwin dengan Enrique.
Dia juga merancang untuk meninggalkan suaminya dan melarikan diri bersama bintang terkenal dari Sepanyol itu.
Namun, sebelum mereka boleh hidup bersama, ‘Enrique’ memerlukan wanita itu untuk mengirimkan sejumlah wang kepadanya.
Sepanjang dua tahun berbual dalam talian dengan Enrique, Guadalupe akhirnya mengirimkan ribuan dolar kepadanya, menyangka bahawa dia benar-benar memerlukan wang itu.
Suami wanita itu akhirnya mengetahui mengenai penipuan berkenaan selepas melihat perbualan di telefon isterinya.
Dia cuba menjelaskan bahawa isterinya bukan berkomunikasi dengan Enrique Iglesias, tetapi dengan seseorang yang menyamar untuk menipunya, namun Guadalupe enggan menerimanya.
Malah, walaupun sumber mesej yang dihantar oleh ‘Enrique’ itu berjaya dikesan dari Nigeria, dia tetap berpegang pada keyakinannya.
Oleh itu, suami Guadalupe mendapat idea untuk tampil dalam program Primer Impacto di saluran Univision untuk menceritakan kisah isterinya dengan harapan dapat ‘membuka mata’ wanita itu.
Kisah berkenaan kemudian tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd