rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua lelaki warga emas berputih mata apabila kerugian keseluruhan lebih RM2 juta akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan dan penipuan panggilan telefon.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima laporan daripada mangsa berusia 61 dan 62 tahun, baru-baru ini.
Menurutnya, kes pertama iaitu seorang pengurus syarikat swasta ditipu sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto secara dalam talian membabitkan kerugian RM1.63 juta.
“Pengadu mendakwa tertarik dengan satu iklan pelaburan mata wang kripto di laman sosial Facebook lalu berhubung dengan suspek melalui panggilan telefon sebelum diberikan pautan yang dikatakan bagi tujuan pelaburan.
“Dia membuat 15 kali transaksi secara atas talian ke enam akaun bank berbeza bagi membeli mata wang dolar Amerika syarikat (ASD) untuk ditukarkan kepada mata wang kripto.
“Bagaimanapun, pengadu tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes kedua, Hussein berkata, seorang pesara menjadi mangsa penipuan panggilan telefon membabitkan kerugian sebanyak RM997,105.50.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek memperdaya pengadu melalui panggilan telefon kononnya mempunyai kesalahan jenayah iaitu menyalahgunakan produk rawatan kulit, mempunyai waran tangkap kes dadah dan terbabit pengubahan wang haram.
“Suspek meminta mangsa membuat bayaran bagi mengelakkan waran tangkap dikeluarkan. Mangsa membuat dua kali pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank berbeza,” katanya.
Katanya, pengadu turut diarah memuat naik gambar kad ATM miliknya sebelum menyedari wang dalam akaun bank berkenaan berkurangan.
Berikutan itu, beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan secara dalam talian dan membuat semakan serta pengesahan dengan agensi berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd