Wang Kelian bakal berubah wajah – Utusan Digital

Wang Kelian bakal berubah wajah – Utusan Digital

KANGAR: Wang Kelian bakal berubah wajah selepas kerajaan negeri mempunyai perancangan membangunkan semula kawasan yang terkenal dengan perdagangan aliran bebas satu ketika dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, rancangan pembangunan semula Wang Kelian berkonsep baharu itu berbeza dengan Padang Besar dan diyakini mampu menarik minat pelancong ke kawasan kawasan tersebut.

Katanya, satu Jawatan kuasa Tindakan Khas Pembangunan Wang Kelian telah ditubuhkan bagi menyelaras rancangan pembangunan semula Wang Kelian.

“Satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) akan disediakan oleh pihak PLANMalaysia bagi mengkaji potensi pembangunan di Wang Kelian. RKK ini akan dijadikan kerangka asas dalam pembangunan Wang Kelian.

“Wang Kelian juga telah dikenal pasti sebagai kawasan potensi pelancongan yang mempunyai tujuh nod utama seperti View Point Wang Kelian, Komuniti Beruk Kentoi, Kampung Wang Kelian, Ladang Nanas MD2, Taman Negeri Perlis, Arked Niaga Wang Kelian dan Kompleks ICQS Wang Kelian,” katanya.

Tambahnya, terdapat usaha untuk membaik pulih arked pekan sehari Wang Kelian dan menukar konsep kawasan komersial tersebut kepada European Garden, namun, masih di peringkat perancangan awal.

Katanya, lakaran ilustrasi pembangunan telah disediakan oleh pihak Pejabat Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri dan agensi lain.

“Perkara ini akan dijadikan asas dalam membangunkan semula kawasan tersebut dengan konsep yang baharu. Beberapa pelabur swasta juga telah menyatakan hasrat untuk membangunkan semula kawasan komersial ini dan pada dasarnya kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang bentuk pelaburan yang memberi manfaat khususnya kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai isu pembukaan zon aliran bebas, Azman memberitahu, semua sedia maklum kemudahan pergerakan bebas diberikan Jabatan Imigresen ditarik semula pada 1 April 2015 susulan penemuan kubur mangsa pemerdagangan manusia di sekitar kawasan Taman Negeri Perlis.

Katanya, situasi tersebut menyebabkan perniagaan aliran bebas dan arkeb pekan sehari Wang Kelian tidak dapat beroperasi secara optimum dan akhirnya terbiar.

“Isu keselamatan dan kawasan sempadan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri telah berusaha untuk memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan untuk membuka kembali kawasan free flow tersebut melalui beberapa surat rasmi dan siri perbincangan yang telah diadakan.

“Namun begitu, atas faktor keselamatan dan jenayah rentas sempadan permohonan ini telak ditolak. Susulan itu, kerajaan negeri telah merangka satu pelan pembangunan semula Wang Kelian dengan berkonsepkan baru tanpa elemen kawasan free flow ini memandangkan dilihat sukar untuk diluluskan oleh kerajaan Persekutuan. -UTUSAN ONLINE

 

Scroll to Top