Wan Hai, Interasia capai jumlah kendalian dua juta TEU di Northport

Wan Hai, Interasia capai jumlah kendalian dua juta TEU di Northport

NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) meraikan kejayaan apabila syarikat perkapalan yang berpangkalan di Taiwan berjaya mencapai jumlah kendalian sebanyak dua juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) dalam setahun di Northport.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports), Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, syarikat yang meraih pencapaian itu ialah Wan Hai Lines (M) Sdn Bhd (Wan Hai) dan Interasia Lines (M) Sdn Bhd (Interasia).

“Wan Hai mencatatkan pertumbuhan luar biasa sejak kejayaan mereka mencapai kendalian satu juta TEU pada 2015, manakala Interasia pula mengukuhkan operasinya dan terus meningkatkan bahagian pasaran mereka di Northport.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Wan Hai dan Interasia di atas pencapaian signifikan dengan jumlah kendalian sebanyak dua juta TEU ini.

“Pencapaian itu mencerminkan pengukuhan dan potensi perdagangan IntraAsia yang semakin meningkat dan kami kekal komited dalam menyokong rancangan pengembangan rakan kongsi kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azman Shah memaklumkan, Wan Hai memulakan perkhidmatan Singapura/Malaysia di Northport di mana ketika itu ia dikenali sebagai Klang Container Terminal (KCT) pada 1989 serta berkembang dengan ketara sejak itu.

Jelasnya, kini Wan Hai merupakan pelanggan terbesar Northport untuk pengendalian kontena, manakala Interasia pula memulakan operasi di Northport melalui perkhidmatan Indonesia/Malaysia Express pada 2006 dan kini Interasia adalah salah satu pelanggan terbesar di Northport.

Tambah Azman Shah, Wan Hai kini mempunyai 15 perkhidmatan persinggahan di Northport, manakala Interasia mempunyai 11 perkhidmatan persinggahan bersama beberapa kumpulan rakan kongsi termasuk Wan Hai, KMTC Line (Malaysia) Sdn Bhd, Sinokor Malaysia Sdn Bhd, Unifeeder Malaysia Sdn Bhd, COSCO SHIPPING Lines (Malaysia) Sdn Bhd, TL Shipping & Forwarding Sdn Bhd dan Ocean Network Express (Malaysia) Sdn Bhd.

Katanya, sejak Januari hingga November 2024, Wan Hai dan Interasia masing-masing merekodkan pertumbuhan pengendalian sebanyak 11 peratus dan 15 peratus di Northport, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

“Pencapaian ini adalah bukti peranan Northport sebagai salah sebuah pelabuhan utama di rantau ini. Pertumbuhan ini juga menyerlahkan kejayaan perkembangan dan strategi logistik maritim yang kukuh oleh syarikat Wan Hai dan Interasia.

“Kami komited dalam menyediakan perkhidmatan dan fasiliti pelabuhan terbaik untuk terus mencapai peningkatan produktiviti bagi menyokong pertumbuhan pelanggan kami,” ujarnya.

Tambah Azman Shah, Northport terus melabur dalam infrastruktur dan fasiliti untuk kekal berdaya saing dalam industri maritim global dan baru-baru ini Northport mengumumkan pembelian empat unit Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co Ltd.

Menurutnya, ia merupakan inisiatif untuk meningkatkan kapasiti pengendalian dan meningkatkan kecekapan operasi terminal Northport.

“Komitmen berterusan kami dalam meningkatkan infrastruktur dan fasiliti pelabuhan menzahirkan dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi dalam memenuhi keperluan yang semakin berkembang bagi syarikat perkapalan global.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat daripada peningkatan produktiviti, kecemerlangan operasi dan kesalinghubungan yang lebih baik,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Wan Hai Lines Malaysia, Marvin Lin berkata, Northport dan Wan Hai menjalin kerjasama erat sejak 1989 dengan mengemudi pertumbuhan dan cabaran selama berdekad lamanya secara bersama terutamanya selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, industri perkapalan global mengalami perubahan ketara termasuk turun naik dalam ketersediaan ruang dan bekalan kontena yang memberikan cabaran baharu buat industri.

Bagaimanapun katanya, Wan Hai dan Northport bekerjasama untuk menyesuaikan dan menangani cabaran ini dengan berkesan.

“Pelabuhan Klang kekal sebagai hab ‘transhipment’ yang penting buat Wan Hai dan kami berbesar hati dapat meraikan pencapaian dua juta TEU ini bersama Northport.

“Dengan penambahan kapal kami bakal dibina pada tahun-tahun akan datang, kami yakin bahawa Wan Hai dan Northport akan terus berkembang serta memulakan lembaran baharu yang lebih mengujakan bersama-sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Interasia Lines Taiwan, Jeff Lo berkata, Interasia Lines amat menghargai sokongan berterusan dan perkhidmatan cemerlang yang diberikan Northport sepanjang kerjasama dengan pihaknya.

Menurut beliau, selama bertahun-tahun Northport menunjukkan komitmen yang jitu terhadap kecemerlangan operasi, menjadikannya rakan kongsi penting dalam perjalanan pertumbuhan Interasia Lines.

“Kami tetap bersemangat dan optimis tentang masa depan, dan kami berharap untuk meneruskan kerjasama kami dengan Northport dan MMC Ports bagi mencapai kejayaan yang lebih besar bersama-sama,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Azman merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Northport dan beliau menyandang jawatan baharu dalam Kumpulan MMC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.

MMC Ports merupakan syarikat induk bagi anak-anak syarikat yang mengendalikan lima buah pelabuhan di seluruh Semenanjung Malaysia iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Johor, Northport di Selangor, Pelabuhan Penang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Bruas di Melaka.

Perniagaan MMC Ports dan anak syarikatnya juga merangkumi terminal jeti produk pepejal di Johor, perkhidmatan pemindahan kapal ke kapal di Pelabuhan Yan di Kedah dan terminal kapal pesiar di Pulau Pinang, Pelabuhan Klang serta Langkawi.

Scroll to Top