Wan Arif-Roy King mara, tiga lagi beregu kecundang di Terbuka Jerman

Wan Arif-Roy King mara, tiga lagi beregu kecundang di Terbuka Jerman

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King hampir dikejutkan sebelum melangkah ke pusingan kedua Terbuka Jerman di Mulheim, awal pagi tadi.

Pilihan ketiga kejohanan itu terpaksa berhempas pulas selepas tewas set pertama kepada pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer yang menghuni ranking ke-42 dunia.

Namun, Arif-Roy King bangkit memastikan kemenangan 21-23, 21-13, 21-12 dalam tempoh 52 minit di Westenergie Sporthalle.

Mereka kini menanti pemenang pertembungan antara pasangan Taiwan, Po Li Wei-Chang Ko Chi dan beregu Perancis, Mael Cattoen-Lucas Rendir bagi aksi pusingan kedua, esok.

Bagaimanapun, Arif-Roy King menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam beregu lelaki yang meneruskan kemaraan selepas tiga lagi pasangan negara terkandas di pusingan pertama.

Juara remaja dunia, Aaron Tai-Kang Khai Xing masih bergelut dalam saingan peringkat senior selepas tunduk 19-21, 18-21 kepada beregu Amerika Syarikat (AS), Chen Zi Yi-Presley Smith.

Pasangan ranking ke-41 dunia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong pula gagal mengimbangi rentak beregu Scotland, Christopher dan Matthew Grimley sebelum tewas 14-21, 14-21.

Sementara itu, satu lagi pasangan profesional negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang juga pilihan kelapan kejohanan turut menerima nasib sama apabila tewas 19-21, 21-13, 19-21 di tangan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top