norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Muaz Fitri, 34, bangga dan gembira sudah bergelar ‘datuk’ apabila anak sulung isterinya, Qaseh Anita Abd Shukor, 50, sudah berumah tangga dan kini memiliki dua cahaya mata.
Muaz atau nama sebenarnya, Muaz Aidil Fitri Maslan berkata, jika kebanyakan rakannya banyak berkongsi kisah anak mereka, namun dia pula seronok berbual mengenai cucu walaupun berstatus ‘datuk muda’.
“Hampir setahun saya dan Qaseh hidup bersama, kami belum lagi ada rezeki anak. Tapi, tidak mengapa sebab Allah sudah kurniakan kami rezeki lain iaitu dua orang cucu.
“Anak Qaseh iaitu Hilman, 29, sudah berumah tangga dan kini mempunyai anak berusia tiga tahun dan bayi yang umurnya belum sampai sebulan lagi. Jadi, sekarang cucu tempat saya mencurah kasih, Alhamdulillah.
“Apapun, saya memang bangga dah ada dua cucu. Bagi saya, tak ada masalah pun apabila dipanggil datuk pada usia saya yang belum mencecah 40 tahun. Ini rezeki Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Muaz, keluarganya di Johor dan isteri pula di Negeri Sembilan tidak pernah bertanya mengenai anak kerana masing-masing faham urusan zuriat bergantung kepada rezeki.
“Jadi, apabila masih ada netizen bertanya mengenai anak ketika saya dan Qaseh ‘live’ di TikTok, kami okay saja menjawab pertanyaan yang diberikan itu tanpa ada terasa hati.
“Pada saya, bila ada orang bertanya soal anak, jawab sajalah selagi ia dirasakan tidak melampau. Sehingga kini, saya tak pernah lagi nak mengelak pun kalau ditanya berkaitan anak,” katanya.
Muaz dan Qaseh bertunang pada Julai 2022 dan bernikah pada 26 April tahun lalu sempena tarikh lahir mereka yang sama di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Qaseh yang juga pengurus Muaz sejak 2018, sebelum itu berstatus ibu tunggal dua anak dan jarak usia antara mereka adalah 16 tahun.
Dikatakan bertuah kerana bertemu jodoh dengan ‘pucuk muda’, Qaseh mengakui antara dia dan suaminya, Muaz yang penting saling melengkapi dalam rumah tangga mereka walaupun tidak sempurna.
Bagi karier lakonan, Muaz sudah membintangi drama seperti Misiku Kuza, Baby Ana Milik Siapa, Seharum Kasih, Aurora Aisyah, Lara Syakila, Origami, Dosa Semalam, Cari Aku Di Syurga, Takdir Yang Tertulis, Badai Semalam dan Canting.
© New Straits Times Press (M) Bhd