Waktu sekolah bulan Ramadan tetap sama seperti tahun sebelum ini – KPM

Waktu sekolah bulan Ramadan tetap sama seperti tahun sebelum ini – KPM

PUTRAJAYA: Pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan untuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelum ini.

KPM dalam kenyataan berkata, ia adalah berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang diguna pakai.

Jelasnya, bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadah bulan Ramadan dengan selesa, waktu persekolahan ditetapkan seperti berikut.

“Sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal pukul 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada pukul 5.00 petang.

“Sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa. Semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri diminta untuk mengingatkan pengetua dan guru besar institusi pendidikan bawah KPM supaya mematuhi surat siaran tersebut,” katanya hari ini.

KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini.

Dalam hal ini, KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat. – UTUSAN

Scroll to Top