Wakil Perlis sedih pemimpin Pas salam wanita, karaoke tidak diambil tindakan

Wakil Perlis sedih pemimpin Pas salam wanita, karaoke tidak diambil tindakan

am@hmetro.com.my

Temerloh: Seorang perwakilan Pas dari Perlis sedih melihat kualiti ada pada segelintir pemimpin parti itu yang semakin pudar.

Mohd Saifizi Saidon mendakwa ini kerana ada pemimpin Pas berkali-kali dilihat bersalaman dengan wanita, namun tidak pula diambil tindakan.

Dakwa beliau lagi, tidak kurang juga ada pemimpin Pas yang berkaraoke tetapi dipertahan ulama Pas.

“Dalam sejarah Pas, tokoh seperti (ahli politik lama Pas), Hashim Gera digantung keahlian hanya kerana berjoget. Ini menunjuk betapa penting menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan.

“Namun pada hari ini Pas semakin jauh dari asas itu. Terdapat pemimpin yang karaoke dipertahankan ulama Pas dan lebih lagi menyedihkan lagi ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas di Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Saifizi membangkitkan isu salah guna kuasa yang terpalit Menteri Besar Perlis Shukri Ramli dan anaknya.

Beliau menyifatkan bahawa isu itu memberi implikasi buruk terhadap Pas.

Lebih malang, katanya sampai ke hari ini Pas Perlis langsung tidak menerima sebarang laporan atau berbincang mengenai isu berkenaan.

“Sama ada daripada badan perhubungan Pas Perlis atau Pas pusat. Di mana kesungguhan kita memperjuangkan integriti dan amanah.

“Harapan besar Pas Perlis agar kerajaan sepenggal tidak berulang,” katanya.

Memetik laporan pada 23 Mei lalu, anak Menteri Besar Perlis, Syafeeq Shukri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk menyediakan minuman bagi kegunaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd