Wake Up Tioman! 30 pensyarah bergabung pulih terumbu karang

Wake Up Tioman! 30 pensyarah bergabung pulih terumbu karang

KUALA LUMPUR – Seramai 30 pensyarah daripada sembilan universiti tempatan bergabung untuk melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dinamakan ‘Wake Up Tioman: Mitigating Climate Change Through Social Innovation’ di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 20 hingga 22 Julai lalu.

Diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), projek itu bertujuan memulihara terumbu karang untuk kelestarian alam sekitar, serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti pulau tersebut tentang pemusnahan terumbu karang, perubahan iklim, dan amalan pengurusan sisa makanan yang betul.

Pengarah Projek, Dr R Kanesaraj Ramasamy dari Universiti Multimedia (MMU) berkata, projek tersebut membuktikan aktiviti pemuliharaan alam sekitar boleh dijalankan seiring dengan membangunkan masyarakat setempat di pulau itu.

“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada kelestarian untuk memulihara dan melindungi keindahan semula jadi dan kepelbagaian Pulau Tioman,” katanya.

Aktiviti memulihara terumbu karang sempena program ‘Wake Up Tioman: Mitigating Climate Change Through Social Innovation’ di Kampung Tekek, Pulau Tioman, baru-baru ini.

Kesemua 30 pensyarah berkenaan dari (MMU, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

Kanesaraj menambah, projek itu merupakan pendekatan komprehensif untuk pemulihan pulau melalui inovasi sosial.

“Ia bermula dengan penanaman terumbu karang baharu, meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dalam kalangan murid sekolah, diikuti dengan pendidikan masyarakat mengenai pengurusan sisa makanan yang berkesan dan amalan penyelenggaraan pulau.

“Bersama-sama komuniti setempat, inisiatif ini akan memacu pulau itu ke arah masa depan yang mampan, dengan ketara menyumbang kepada mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya.

Majlis perasmian projek disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kerjasama Industri dan Masyarakat dari Jabatan Pengajian Tinggi KPT, Datuk Mohd Sharil Abdullah dan turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Pahang, Mustaza Mukri.

Penaja acara termasuk Yayasan Telekom Malaysia sebagai Penaja Berlian dan Malaysia Rail Link sebagai Penaja Platinum.

Projek berkenaan turut dijayakan oleh Lembaga Kemajuan Tioman (TDA), Reef Check, Yayasan Universiti Multimedia (YUM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek. – MalaysiaGazette

Scroll to Top