“Wajah Anak Kecil, Anak Syurga Yang Ikhlas Menyayangi & Menghargai Takkan Saya Lupakan” – Fasha Sandha Gembira Dapat Bantu Anak Yatim

“Wajah Anak Kecil, Anak Syurga Yang Ikhlas Menyayangi & Menghargai Takkan Saya Lupakan” – Fasha Sandha Gembira Dapat Bantu Anak Yatim

Pelakon cantik, Fasha Sandha meluahkan rasa gembira dapat membantu anak-anak yatim yang memerlukan.

Menjalankan tugas selaku duta kepada jenama pakaian terkenal Alfaro, Fasha menzahirkan rasa syukur kerana program sumbangan baju raya kepada 1,500 anak-anak yatim dan asnaf berjalan lancar walaupun melibatkan jumlah penerima yang besar.

Program terbabit berlangsung dengan jayanya di butik Alfaro cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, semuanya tersusun dengan baik walaupun ada sedikit cabaran. Saya berasa sangat gembira dapat bertemu dengan anak-anak yatim serta mereka yang kurang upaya. Wajah ceria mereka ketika menerima baju baharu benar-benar menyentuh hati,” katanya.

Sempat berkongsi momen sekitar majlis sumbangan di hantaran Instagram miliknya, Fasha meluahkan rasa bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki.

“Syukur Alhamdulillah, dapat bersama Alfaro berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Wajah anak kecil, anak syurga yang ikhlas menyayangi dan menghargai takkan Fasha lupa,” tulisnya.

Dalam pada itu, menurut pengasas jenama fesyen Alfaro, Farooq Ahmad, usaha ini bukan hanya sekadar bantuan fizikal, tetapi juga satu simbol keprihatinan dan kasih sayang terhadap mereka yang memerlukan.

“Di acara ini, kami raikan 1,500 kanak-kanak dari pelbagai rumah berbeza. Kami yakin setiap kanak-kanak patut merasai kegembiraan menyambut perayaan seperti rakan sebaya mereka. Oleh itu, kami berusaha untuk menceriakan Ramadan dan Syawal mereka dengan memastikan mereka turut diraikan,” ujarnya.

Farooq turut menegaskan bahawa program ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan sebahagian daripada komitmen utama Alfaro dalam membantu masyarakat.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diperluaskan dengan lebih banyak kerjasama strategik supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat menerima manfaat di seluruh negara. Insya-Allah, tahun depan kami berhasrat untuk menggandakan penerima sumbangan supaya ramai yang dapat sama-sama rasakan kemeriahan Syawal dengan busana baharu,” tambahnya.

Antara rumah kebajikan dan institusi yang menerima sumbangan termasuk Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Halimatusaadiah, Akademi Tahfiz Al-Quran Vokasional Al Muttaqin, Yayasan Gemilang, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Manar, Rumah Kanak-Kanak Mini Selangor, Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Kebajikan Masyarakat, Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (Rumah Bakti Dato’ Harun) serta Pusat Jagaan Terapi Autistik Nouri.

Scroll to Top