Wai Ching tumpu kejohanan besar pada 2025

Wai Ching tumpu kejohanan besar pada 2025

PELARI menara nombor satu negara, Soh Wai Ching mahu mengurangkan jumlah pertandingan yang akan disertainya dengan menumpukan kepada kejohanan besar dunia pada 2025.

Selepas meraih pelbagai kejayaan antarabangsa sebelumnya atlet berusia 31 tahun itu akan menyertai kurang 30 acara sahaja berbanding 39 acara yang disertainya dalam pertandingan tahun lalu.

“Objektif tahun ini adalah mengurangkan penyertaan dalam kejohanan larian menara daripada 38 mungkin kurang daripada 30, sebab saya sudah terlalu banyak menjelajah pada tahun lalu.

“Agak susah bagi saya untuk terus menjelajah dalam masa sama mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi, jadi pada tahun ini saya akan tumpukan kualiti berbanding kuantiti,” katanya.

Wai Ching ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Atlet Larian Menara Bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Bilik Gerakan Ibu Pejabat MBPJ di Petaling Jaya pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.

Sebagai rekod, Wai Ching bersaing dalam lebih 30 perlumbaan setahun, ‘memanjat’ beberapa bangunan tertinggi di dunia seperti Taipei 101, Menara Shanghai (103 tingkat), Merdeka 118 dan One World Trade Center di New York (104 tingkat).

Sebagai perbandingan pula, beliau bertanding dalam 39 pertandingan pada tahun lalu, manakala pencabar terdekatnya dan juara dunia semasa Ryoji Watanabe pula hanya bertanding dalam 15 pertandingan.

Dalam pada itu, Wai Ching yang juga presiden pengasas Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA) turut berhasrat untuk menumpukan mempromosikan sukan itu kepada warga Petaling Jaya.

“Saya akan turun ke lapangan di peringkat akar umbi untuk mengadakan pertemuan dan perkongsian bersama pelajar sekolah serta kolej di kawasan Petaling Jaya termasuk memberi mereka motivasi.

“Pada setiap Sabtu pula, bermula jam 5.30 petang sehingga 7 malam satu sesi perkongsian dan larian menerusi program Jom Naik Tangga akan diadakan di Menara MBPJ, jadi boleh datang sertai kita,” katanya.

Sementara itu, mengenai majlis tersebut, Mohamad Zahri berkata, antara lain usaha itu adalah salah satu usaha MBPJ bagi mempromosi Petaling Jaya kepada masyarakat dunia.

Melalui perjanjian itu, ujarnya, MBPJ memberikan tajaan sejumlah RM75,000 kepada Wai Ching bagi meneruskan penyertaan di peringkat antarabangsa serta menyokong misi beliau untuk merampas semula ranking nombor satu dunia 2025.

“Tajaan ini diharap dapat membantu beliau mencapai kejuaraan serta mengharumkan nama Malaysia, khususnya Bandaraya Petaling Jaya di pentas dunia.

“Selain itu, perjanjian ini juga diadakan untuk mempromosikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan serta sebagai sebuah destinasi pelancongan yang boleh dilawati pengunjung seluruh dunia,” katanya.

Scroll to Top