hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: Polis giat mengesan pemandu kenderaan yang memandu secara melawan arus di Kilometer 299 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, seperti yang tular di aplikasi X.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular itu dikongsikan di aplikasi media sosial pada 9.50 pagi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pemerhatian video daripada lebuh raya, kenderaan itu tidak dikejar polis seperti yang didakwa dalam perkongsian video tular berkenaan.
“Polis kini sedang giat mengesan pemandu berkenaan yang memandu secara berbahaya dan melulu.
“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915193 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna aplikasi X berkongsi video sebuah kenderaan yang dipandu melawan arus dan mendakwa kenderaan itu dikejar polis selain turut mendoakan keselamatan anggota polis yang bertugas menjaga keamanan dan membanteras jenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd