Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, memuji tindakan penyanyi Ernie Zakri yang menggunakan penyanyi latar bertudung dalam persembahannya di Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39) baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian di TikTok Keluarga, Asma’ menyatakan bahawa keputusan Ernie itu wajar diberikan penghargaan serta boleh dijadikan inspirasi.
“Saya lihat persembahan Ernie, apa yang sama nampak dia dan penyanyi latar memakai tudung. Saya kata bagusnya.
“Mungkin juga Ernie memang sudah rancang daripada awal untuk pilih penyanyi latar bertudung atau mungkin kebetulan mereka bertudung. Perkara baik yang boleh dilihat,” katanya.
Selain itu, Asma’ turut menghargai usaha Ernie dan beberapa penyanyi lain yang masih menjaga etika berpakaian mengikut garis panduan Islam.
“Saya pernah berjumpa secara berdepan dengan Ernie, Allah memberikan dia suara yang luar biasa. Itu satu anugerah. Dia minta saya doakannya. Dia mempunyai visi dan misi sendiri.
“Sama juga seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, walaupun dia berfesyen, kita akan lihat bahagian dada akan ada hiasan tambahan untuk cover.
“Di situ kita nampak, walaupun penyanyi, mereka masih ada usaha untuk menjaga syariat Islam. Saya lihat itu sangat bagus,” tuturnya lagi.
Dalam perkongsian yang sama, Asma’ meluahkan rasa syukur melihat semakin ramai penggiat seni yang berubah ke arah kebaikan.
Sebagai pendakwah, Asma’ menyambut baik perubahan ini dan menganggapnya sebagai perkembangan yang wajar diraikan.
“Kita juga dapat lihat antara perubahan yang berlaku sekarang, ramai anak seni mula berhijrah. Tak kisah sama ada pelakon dan penyanyi.
“Mereka semua lebih mendekatkan diri kepada Allah. Malah pemakaian mereka juga lebih sopan dan longgar. Saya sebagai pendakwah apabila melihat situasi ini, perlu kita raikan. Kerana itu perkara yang baik,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Ernie merangkul gelaran vokal terbaik AJL39 menerusi lagu Aura.
@keluarga.my Ulas mengenai Anugerah Juara Lagu, Ustazah Asma Harun raikan perubahan positif yang ada terutama hijrah di kalangan artis wanita.