[VIDEO] Dikritik Mesra Peluk Pinggang Kak KM, Saiful Apek Akui Silap – “Tak Sedar Hukum-Hakam Walau Dah ‘Bau Tanah’”

[VIDEO] Dikritik Mesra Peluk Pinggang Kak KM, Saiful Apek Akui Silap – “Tak Sedar Hukum-Hakam Walau Dah ‘Bau Tanah’”

Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek, 56, mengakui kesilapan dan menerima teguran dengan hati terbuka selepas video dirinya memeluk pinggang usahawan sensasi, Kak KM, tular sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Memetik laporan Harian Metro, Apek atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, berharap agar perkara ini tidak diperbesarkan lagi.

“Saya akui khilaf dan menerima dengan berlapang dada untuk terima teguran berlandaskan kasih sayang.

“Tak perlu panjangkan kejadian khilaf saya kerana pada masa itu, saya tak fikir dan mungkin tak sedar hukum-hakam walau sudah ‘bau tanah’. Benda sudah pun berlaku.

“Jadi, jika ada yang sampai kecewa atau ‘unfollow’ dan ‘block’ (sekat) kerana kejadian itu, saya terima dengan reda,” katanya.

Tambahnya, Apek menjelaskan dirinya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang terjadi dan tidak mahu mencari alasan bagi menafikan teguran yang diterima.

“Saya tidak mahu menuding jari atau berdolak-dalih untuk mempertahankan diri. Salah tetap salah, dosa tetap dosa, dan yang haram tetap haram. Saya sedar akan batasan dalam agama dan mengakui khilaf saya.

“Sebab itu, saya selalu tegaskan bahawa ungkapan ‘otai masih berbisa’ kurang tepat, kerana realitinya, otai masih berdosa,” tambahnya lagi.

Bintang filem Duyung itu juga menegaskan bahawa kenyataannya itu bukan untuk mengeruhkan keadaan atau meraih simpati, serta atau untuk meredakan kritikan netizen.

“Saya tak nak budaya kita sekarang ni takut buat salah semata-mata mata sebab netizen. Sepatutnya kita bukan takut hukuman netizen tapi hukuman Allah dan cakaplah apa pun kalau tak berubah tetaplah tak berubah dan kalau ditarik segala nikmat dan rezeki saya sekalipun bukan kerana manusia tapi atas Kun Fa Yakun,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, video memaparkan Apek berpelukan dengan usahawan kosmetik, Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM, dalam sebuah acara telah tular di media sosial dan mencetuskan reaksi ramai.

Apek menerima kritikan hebat daripada netizen lebih-lebih lagi selepas imejnya kini lebih cenderung ke arah Islamik.

Insiden itu turut mendapat perhatian penceramah bebas, PU Syed, yang menasihatinya agar lebih menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram serta menghormati hukum syarak yang telah ditetapkan dalam Islam.

Scroll to Top