Victor hargai pengorbanan berterusan pemain

Victor hargai pengorbanan berterusan pemain

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Ketua Jurulatih Interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Victor Andrag menghargai semangat juang berterusan yang dipamerkan pemainnya apabila berjaya menewaskan KL Rovers menerusi keputusan 3-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Darul Aman semalam.

Bagi jurulatih Kedah berusia 48 tahun ini, segala pengorbanan berterusan yang ditunjukkan pemainnya bagi memastikan kemenangan ketika isu tunggakan gaji pasukan masih berlarutan membuatkan beliau terharu.

“Saya cukup berpuas hati dengan aksi pemain pada perlawanan ini dan bila saya melihat karektor pemain ketika kami menghadapi masalah namun mereka tetap hadir menjalani latihan dan apa yang diminta semasa dalam perlawanan masih mampu berikan sesuatu.

“Tahniah buat mereka dan tanpa pengorbanan mereka tak mampu lakukan perkara (kemenangan) ini, dan mereka beri apa yang mereka mampu pada setiap perlawanan.

“Ketika berhadapan banyak masalah pun mereka sanggup beri aksi terbaik tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Saya sebagai jurulatih di satu sudut saya mencuba apa yang mampu, tetapi bergantung juga kepada pemain itu sendiri jika mahu bermain ke tahap yang mereka mahukan,” katanya pada sidang meeia selepas perlawanan semalam.

Andrag juga berkata tugas yang beliau galas kini bukan satu tugas yang mudah tambahan pula isu berkenaan perlu dihadapi setiap hari berdepan pemain ketika latihan dan juga setiap perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top