Vicente kecewa persembahan Harimau Malaya di Kemboja

Vicente kecewa persembahan Harimau Malaya di Kemboja
Vicente kecewa persembahan Harimau Malaya di Kemboja

Pau Marti Vicente. Foto Bernama

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente kecewa selepas skuad negara sekadar seri 2-2 dengan Kemboja pada aksi pembukaan Piala ASEAN 2024 di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, di sini malam ini.

“Secara keseluruhan, ia agak mengecewakan. Komitmen pemain tidak memuaskan selepas kami dibolosi dua gol menerusi situasi ‘set pieces’.

“Secara jujurnya, saya menjangkakan perlawanan yang tegang memandangkan kami beraksi di hadapan penyokong tuan rumah dengan stadium penuh. Namun, mereka (Kemboja) berjaya mengawal keadaan dan menjaringkan dua gol,” kata Vicente pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Vicente turut memuji semangat pemainnya yang berjaya menyamakan kedudukan dan mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi setiap perlawanan tetapi menang di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah. Kemboja tampil dengan permainan yang tersusun, pantas dan berkualiti,” katanya.

Pemain skuad negara Fergus Tierney, yang beraksi bersama kelab Chonburi FC, tidak menyembunyikan kekecewaannya selepas Malaysia gagal membawa pulang tiga mata penuh.

“Bagi saya, satu mata ini terasa seperti kekalahan. Kami perlu bangkit dan menumpukan latihan untuk memastikan kemenangan pada perlawanan seterusnya menentang Timor-Leste.

“Bermain di hadapan ribuan penyokong adalah satu pengalaman yang menarik tetapi sudah tentu kami mahu menang. Itulah yang mengecewakan. Kami sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik, namun secara keseluruhan permainan kami tidaklah terlalu teruk.

“Kemboja tampil dengan semangat juang tinggi sebagai pasukan bukan pilihan. Mereka bermain baik dan perlawanan ini sangat sengit. Kami memang tidak menjangkakannya,” kata Tierney.

Tierney muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan berharga Malaysia pada minit ke-74 untuk memastikan skuad negara pulang dengan satu mata.

Anak buah Vicente seterusnya akan menentang Timor Leste bagi aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini. – Bernama

Scroll to Top