VOLKSWAGEN Group Malaysia (VGM), pengeluar kenderaan Volkswagen dan Audi melabur RM205 juta untuk model pemasangan tempatan (CKD) di negara ini.
Pengarah Urusannya, Dr Susanne Lehmann berkata, model pertama dipasang ialah Audi Q7 yang juga model pertama dipasang secara tempatan untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
“Kilang pemasangan di Pekan sudah melakukan proses Pre-Series sejak November tahun lalu dan memulakan proses pengeluaran bermula April tahun ini.
“Selain dapat mengimbangi harga penawaran model ini berbanding import sepenuhnya (CBU) untuk pasaran serantau, CKD juga membuka peluang penambahan vendor tempatan, peluang pekerjaan dan pertukaran teknologi,” katanya pada majlis pelancaran pembuatan CKD bagi Audi Q7 di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM), Denyu Bostandzhiev sebagai pengedar jenama Audi di negara ini dan Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Audi Singapura, Christian Krauel.
Kilang di Pekan berkeluasan 18,000 meter persegi digerakkan lebih 90 pekerja tenaga mahir baharu sejak Februari lalu dan menjadi persediaan ke arah pemasangan model kenderaan elektrik (EV) jenama itu.
Malaysia juga bakal menjadi hab eksport kenderaan Volkswagen dan Audi untuk pasaran Indonesia, Thailand dan Vietnam yang dijangka bermula pada tahun hadapan.
Kilang dengan peralatan bertaraf antarabangsa ini juga sudah memasang model Volkswagen di Malaysia sejak 2011 bersama DRB-Hicom sebagai rakan kongsi pengilangan kontraknya.
Untuk model Audi, ia mampu memasang tiga unit kereta sehari dengan kapasiti pengeluaran 300 hingga 500 unit setahun mengikut.
Model Audi Q7 CKD 2025 bakal berada di pasaran Mei hadapan edaran PHS Automotive Malaysia (PHSAM) ditawarkan pada anggaran harga antara RM469,000 hingga RM489,000.
Ia tampil dengan rekaan sporty melalui kemasan S line dan Black Styling Package Plus, termasuk rim 22 inci dan logo Audi kelabu.
Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) tujuh tempat duduk ini dikuasakan enjin 3.0L V6 TFSI dengan sistem Kenderaan Elektrik Hibrid Ringan (MHEV) 48V menjana kuasa 340PS dan tork 500Nm, sistem pacuan quattro bersama 8-kelajuan Triptronic serta mod pemanduan Audi Drive Select.
© New Straits Times Press (M) Bhd