Variasi tiga beregu ‘senjata’ ampuh di Piala Sudirman

Variasi tiga beregu ‘senjata’ ampuh di Piala Sudirman
Variasi tiga beregu ‘senjata’ ampuh di Piala Sudirman

Wooi Yik (kiri) – Aaron antara sandaran negara untuk mengutip mata dalam saingan Piala Sudirman 2025 di China hujung bulan ini. FOTO: AFP

VARIASI tiga beregu lelaki mampu menjadi ‘senjata’ ampuh buat skuad badminton negara bagi mengharungi saingan Piala Sudirman 2025 di China hujung bulan ini.

Gandingan itu melibatkan pasangan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan tiga gandingan itu sebagai kombinasi terbaik buat Malaysia, sekali gus mampu menyumbang mata buat kem negara.

“Kita baru mula berlatih pada hari ini (Selasa). Masih ada baki lebih kurang dua minggu. Pandangan saya (kombinasi), ini yang terbaik di Malaysia.

“Barisan beregu lelaki kita berada pada tahap yang sangat maksimum,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan hari pertama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Turut menarik perhatian ialah penampilan gandingan profesional, Sze Fei-Nur Izzuddin yang kembali bernaung di bawah satu bumbung selepas meninggalkan BAM pada tahun lalu.

Herry yang terkenal dengan julukan Naga Api menjelaskan bahawa kelebihan utama Malaysia dalam kempen kali ini terletak pada kepelbagaian gaya permainan tiga beregu lelaki tersebut.

ā€œSetiap pasangan ada gaya permainan yang berbeza, jadi saya ada banyak pilihan untuk diturunkan bergantung kepada siapa lawan kita nanti.

ā€œDaripada sudut teknikal, kita akan tengok juga kesesuaian lawan, tetapi kelebihan kita sekarang ialah ada pelbagai jenis permainan yang boleh disesuaikan dengan situasi,ā€ katanya.

Menyentuh mengenai undian kumpulan yang menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran Jepun, Perancis dan Australia, Herry mengakui Jepun kekal sebagai pencabar utama sambil melihat peluang baik ke atas dua lagi lawan.

“Apa yang pasti beregu yang perlu diberi perhatian ialah Jepun. Perancis pula bukan yang terbaik sebaliknya mereka menurunkan pemain pelapis,” ujar Herry.

Kejohanan tersebut dijadual berlangsung di Xiamen bermula 27 April hingga 4 Mei.

Scroll to Top