Varian India COVID-19 ditemui di Switzerland

Varian India COVID-19 ditemui di Switzerland

GENEVA: Pihak berkuasa kesihatan awam mengesahkan kes pertama varian COVID-19 yang menyumbang kepada penularan wabak di India dikesan di Switzerland.

Pejabat Persekutuan Kesihatan Awam Switzerland melalui ciapan Twitter, berkata varian COVID-19 India yang pertama di kesan di negara itu ditemui pada seorang penumpang.

“Varian virus ditemui pada penumpang yang transit melalui lapangan terbang,” katanya tanpa menjelaskan maklumat lanjut mengenai kes itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa Belgium pada Khamis lalu berkata sekumpulan 20 pelajar perubatan India yang tiba dari Paris diuji positif, membabitkan varian di negara itu.

Sistem penjagaan kesihatan India kini berdepan dengan gelombang baharu jangkitan yang dikenal pasti sebagai ‘mutan berganda’ dikenali dengan B.1.617.

Banyak negara kini sedang berada pada tahap amaran tinggi terhadap varian itu termasuk menangguhkan penerbangan dari India.

Pihak berkuasa kesihatan berkata malah, Switzerland kini sedang berbincang sama ada akan menyenaraikan India dalam ‘senarai merah’ membabitkan negara berisiko tinggi.

Pengunjung yang tiba dari negara yang tertakluk dalam senarai merah Switzerland diwajibkan menjalani kuarantin selama 10 hari.

Negara yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dari Switzerland untuk tempoh 14 hari diletakkan dalam senarai itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top