VAR tak dapat campur tangan insiden handball di Villa Park

VAR tak dapat campur tangan insiden handball di Villa Park
VAR tak dapat campur tangan insiden handball di Villa Park

Bola jelas terkena tangan John McGinn sebelum ia di hantar ke kawasan kotak penalti Liverpool dan dijaringkan Ollie Watkins di penghujung separuh masa pertama. Foto: Agensi

LIVERPOOL tidak berpuas hati dengan insiden handball John McGinn tidak lama sebelum Ollie Watkins meletakkan Aston Villa di depan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara kedua-dua pasukan di Villa Park pada awal pagi Khamis.

Insiden tersebut berlaku terlalu jauh sebelum gol dijaringkan, menyebabkan video bantuan pengadil (VAR) tidak dapat campur tangan.

Pengadil perlawanan, Craig Pawson menentukan bahawa McGinn tidak sengaja mengawal bola menggunakan tangan.

“Handball itu berlaku jauh sebelum gol dijaringkan, jadi mungkin itu sebabnya ia tidak dibatalkan.

“Ia agak malang kerana bola daripada sentuhan Jota mengenai tangannya (McGinn) tetapi itu adalah gol yang hebat,” kata pengulas Alan Hutton di TNT Sports.

Sementara itu, rakan pengulas Lucy Ward berkata: “Villa diberi ruang untuk menggerakkan bola ke kiri. Saya fikir itu handball tetapi ada banyak masa untuk mendapatkan bola ke dalam kotak penalti. Watkins hanya berjalan masuk untuk menanduk bola melepasi penjaga gol. Dari sudut pandang Liverpool, itu terlalu mudah.”

Dalam perlawanan itu, Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-29, sebelum Youri Tielemens mengikat kedudukan 1-1 m-38.

Watkins memadam kelebihan itu pada masa tambahan separuh masa pertama, sekali gus menyemarakkan semangat pemain The Villans memburu kemenangan mutlak di laman sendiri.

Bagaimanapun, Trent Alexander-Arnold menyamakan kedudukan 2-2 untuk Liverpool pada separuh masa kedua bagi kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Kemenangan untuk Liverpool akan meletakkan mereka 10 mata di hadapan Arsenal, namun keciciran mata di Villa Park memberi ruang kepada Arsenal bernafas untuk terus mengejar anak buah Arne Slot.

Scroll to Top