London: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata, ada kemajuan dicapai dalam perbincangan mengenai kontrak perjanjian baru yang sering diperkatakan untuk memastikan beliau kekal di Anfield.
Pemain antarabangsa Belanda berusia 33 tahun itu bersama rakan sepasukan Liverpool, Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold akan tamat kontrak pada penghujung musim ini.
Ketika ditanya mengenai perkembangan dalam perbincangan kontraknya selepas Liverpool tewas 2-3 di tangan Fulham, Ahad lalu, Van Dijk berkata kepada pemberita: “Ada kemajuan, ya.”
Apabila ditanya apa maksudnya secara khusus, beliau menjawab: “Dengar, ini adalah perbincangan dalaman dan kita akan lihat.”
“Saya cintakan kelab ini, saya cintakan peminatnya dan mereka sentiasa menyokong kami (di Fulham). Kami mahu membalas mereka, tetapi saya minta mereka terus hadir pada Ahad depan dan menjadikan stadium sebagai tempat yang menakjubkan seperti biasa untuk kami.”
Liverpool yang berpeluang cerah meraih trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menentang West Ham di Anfield pada Ahad ini dan mereka memiliki kelebihan 11 mata berbanding pasukan di tempat kedua, Arsenal.
Ini bermakna, mereka hanya selangkah lagi untuk meraih gelaran kedua dalam tempoh enam musim.
Namun, masa depan trio utama Van Dijk, Salah dan Alexander-Arnold menjadi topik utama perbincangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan spekulasi mengatakan wira tempatan, Alexander-Arnold mungkin menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid, yang mencetuskan reaksi kuat daripada beberapa penyokong kelab itu.
Namun, Van Dijk berkata, fokus utamanya kini adalah untuk memenangi liga.
“Itulah mentaliti dalam kumpulan kami, tugas belum selesai dan kini kami hanya perlu pulih secara fizikal dan mental dan fokus pada perlawanan menentang West Ham di tempat sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd