Paris: Virgil van Dijk percaya kegetiran Liverpool ketika menentang Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara belum berakhir walaupun terselamat daripada serangan menggila sebelum menang 1-0 dalam aksi pusingan 16 terakhir di ibu kota Perancis.
Reds diatasi hampir keseluruhan perlawanan di Parc des Princes awal pagi hari ini tetapi berterima kasih kepada kecemerlangan penjaga gol Alisson Becker yang menganggap prestasinya adalah yang terbaik dalam hidupnya.
Harvey Elliott masuk daripada bangku simpanan dan menjaringkan gol kemenangan hasil sentuhan pertamanya pada minit ke-87 ketika Liverpool hanya melakukan dua percubaan berbanding PSG 27 percubaan ke pintu gol.
Kekalahan itu yang pertama buat skuad Paris itu dalam 23 perlawanan dengan kali terakhir pada November.
Liverpool menjangkakan skuad lebih kuat untuk aksi peringkat kedua di Anfield pada Rabu depan tetapi Van Dijk memberi amaran perlawanan belum berakhir.
“Ia sepatutnya perlawanan yang hebat dan kami perlu bersedia untuk sengsara kerana mereka pasukan sangat bagus selepas tidak tewas untuk jangka masa sangat lama,” kata kapten Liverpool itu.
“Apa yang saya benar-benar suka ialah kerjasama jitu, semua orang memainkan peranan dan setiap di antara kami boleh menjadi lebih baik.”
Pengurus Liverpool Arne Slot mengakui pasukannya bernasib baik tidak tewas selepas melihat apa yang dipamerkan PSG.
Van Dijk bersetuju lebih banyak bertahan bukan cara pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu beraksi tetapi pada masa sama memuji lawan bertaraf dunia yang mereka hadapi.
“Kami tidak mahu beraksi seperti ini kerana semua orang yang bermain bola sepak mahukan penguasaan bola dan mendominasi lawan,” katanya.
“Namun kami menentang lawan yang mempunyai banyak kualiti, kualiti bertaraf dunia dan mereka menjadikan ia sukar kepada setiap orang setakat ini dan juga kepada kami. Tetapi kami temui cara dan cuba menamatkannya minggu depan.”
Liverpool boleh melebarkan lagi kedudukan selaku pendahulu EPL apabila kelab tercorot Southampton bertandang ke Anfield pada Sabtu.
© New Straits Times Press (M) Bhd