Uyaina takkan minta maaf

Uyaina takkan minta maaf

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, 32, sehingga kini belum lagi menerima surat tuntutan (LOD) daripada peguam mewakili ‘Abang Bas’ selepas keluarga lelaki itu didakwa mahu mengambil tindakan terhadap undang-undang, baru-baru ini.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad ketika ditemui berkata, isu ‘Abang Bas’ yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak itu adalah sangat berat kerana membabitkan kebimbangan golongan ibu bapa.

“Buat masa ini, saya belum lagi terima apa-apa notis tuntutan mahkamah kerana saya pun tidak ada melakukan provokasi. Malah, masyarakat kita juga secara umum sudah cakna dan mula faham mengenai isu ini (gangguan seksual kanak-kanak).

“Selepas ramai bersuara dan bukan hanya selebriti saja, tetapi golongan profesional lain seperti  peguam, doktor serta masyarakat, segala ugutan dan gertakan diberi, saya rasa okay saja dan melihatnya sebagai amaran. 

“Mungkin ada segelintir masyarakat kita yang terus menjatuhkan hukuman kepada seseorang. Tetapi, macam yang saya pernah cakap sebelum ini, seseorang itu tidak bersalah selagi dia tidak dibuktikan bersalah,” katanya.

Terdahulu, Uyaina ditemui pada majlis sidang media dan pelancaran program Tiga Is3 di sebuah restoran di ibu kota, hari ini.

Sebelum ini, Uyaina didapati meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan seorang pemandu bas yang didakwa merakam video seorang pelajar sekolah rendah dan perbuatan itu memang tidak patut dilakukannya.

Mengulas juga tindakan permohonan maaf secara terbuka diminta keluarga lelaki itu, Uyaina berkata, dia tidak akan kemukakan permohonan maaf kerana apa diperkatakannya untuk memberi kesedaran kepada umum.

“Saya tidak akan minta maaf untuk menegakkan kebenaran kerana apa yang saya suarakan itu juga berdasarkan fakta. Malah, sebenarnya ramai peguam yang menghubungi saya.

“Mereka (peguam) ingin menawarkan perkhidmatan guaman kepada saya untuk tindakan undang-undang sekiranya saya menerima apa-apa surat dari mahkamah,” katanya. 

Menurut ibu dua cahaya mata itu, dia bagaimanapun tidak melihat tindakan akan diambil itu sebagai matlamat utama, namun sedia memikirkannya selepas menerima nasihat peguam.

Pada perkembangan kariernya, Uyaina akan tampil mengacarakan program Tiga Is3 yang menyajikan pelbagai maklumat menarik dalam kehidupan seharian bersama dua akan pengacara lain iaitu Adriana Adnan dan Syamin Freida.

Tiga wanita berkaliber yang julung kali digabungkan bersama itu akan berkongsi pelbagai topik bicara menarik meliputi kisah rumah tangga dan kehidupan dalam mendepani situasi semasa yang mencabar ini.

Program Tiga Is3 diterbitkan oleh FYP Media ini akan mula ditayangkan pada 22 September ini,  setiap Ahad, jam 5 petang di saluran YouTube produksi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top