UUM lonjak tangga ketiga carta pingat SUKIPT

UUM lonjak tangga ketiga carta pingat SUKIPT

sukan@hmetro.com

Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) melonjakkan kedudukannya dari tangga ke-26 pada hari ketiga ke tangga ketiga dalam kedudukan pungutan pingat temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, semalam.

Selain menyapu bersih lapan emas acara golf di Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM, UUM turut meraih dua perak dan tujuh gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 17, sekali gus mencapai sasaran UUM sebanyak 15 pingat.

Terdahulu, UUM turut menerima pingat pertama gangsa pada hari ketiga melalui sukan taekwando, lawn bowls dan petanque.

Kemenangan ini merupakan sejarah manis buat UUM kerana turut menyambut ulang tahun ke-40 dan membuktikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) betapa pemilihan UUM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Golf sangat bertepatan.

Setakat 9 September, Politeknik Malaysia menduduki tangga pertama dengan kutipan pingat emas sebanyak 19, perak (9) dan gangsa (7), diikuti tempat kedua Universiti Teknologi MARA dengan emas (16), perak (8) dan gangsa (12), seterusnya tangga keempat diduduki oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan emas (7), perak (5) dan gangsa (7).

Dalam pada itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 bagi atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan tanpa mengira apa jua jenis acara sukan.Temasya dwi tahunan ini juga menghimpunkan 74 kontinjen dari universiti awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti serta Institut Pendidikan Guru (IPG) dari seluruh negara bagi merebut 231 pingat emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd