suliati@hmetro.com.my
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dianugerahkan Kursi Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kecekapan dan Pendidikan Kemahiran Transversal untuk Pembangunan Profesional bagi tempoh empat tahun, bermula 2025 hingga 2029.
Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kepimpinan global UTHM dalam meneraju TVET, selain komitmen universiti terhadap penyelidikan, inovasi dan pembangunan mampan.
Kursi UNESCO adalah sebahagian daripada Program Kursi UNITWIN/UNESCO bertujuan mempromosi kerjasama antarabangsa, perkongsian pengetahuan dan penyelidikan selaras dengan misi UNESCO dalam pendidikan, sains, budaya dan komunikasi.
Dengan anugerah ini, UTHM menyertai kumpulan eksklusif sebagai salah satu daripada enam pemegang Kursi UNESCO dan yang pertama dalam TVET di Malaysia.
Inisiatif selama empat tahun itu selari dengan Strategi Jangka Sederhana UNESCO 2022-2029, yang menyumbang terus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkumi kelestarian, inklusi gender dan transformasi digital dalam konteks TVET.
Antara bidang tumpuan utama di bawah inisiatif itu ialah Program TVET Inklusif Gender bagi meningkatkan penyertaan dan peranan kepimpinan wanita dalam TVET serta memperkasakan pendidik dan pengajar TVET bagi mengukuhkan keupayaan dalam pedagogi digital, etika dan pembangunan institusi.
Inisiatif itu juga turut menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan TVET hijau bagi mempromosi amalan mampan dalam program latihan guru.
Lebih membanggakan, Profesor Emeritus Dr Jailani Md Yunos dilantik sebagai pemegang Kursi UNESCO itu.
Pelantikan itu membolehkan beliau berkongsi kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam TVET.
Beliau juga akan mengetuai projek-projek berkaitan dan merancakkan kerjasama antarabangsa.
Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim mewakili universiti menzahirkan ucapan terima kasih di atas pelantikan dan kepercayaan yang diberikan.
Menurutnya, Kursi UNESCO ini mencerminkan dedikasi UTHM dalam membangunkan lagi pengetahuan dan inovasi demi masa depan yang lebih baik.
“Ia membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama global,” katanya.
Kursi UNESCO akan menerajui pelbagai inisiatif termasuk perkongsian penyelidikan, program pemerkasaan komuniti dan mobiliti akademik.
Inisiatif itu akan membantu meningkatkan profil Malaysia dalam pendidikan antarabangsa.
Pengiktirafan itu juga mengukuhkan peranan UTHM dalam dunia akademik antarabangsa dan membantu mencapai misi dalam memacu kemajuan mampan melalui inovasi serta pembangunan profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd