Usul baharu untuk dakwa Presiden Yoon dibawa ke Parlimen

Usul baharu untuk dakwa Presiden Yoon dibawa ke Parlimen

Seoul: Usul kedua untuk mendakwa Presiden Yoon Suk Yeol berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal dilaksanakan telah dibawa ke Parlimen pada Jumaat, ketika negara itu masih bergelut dengan krisis politik yang tercetus selepas pengisytiharan undang-undang itu pada 3 Disember lalu.

Menurut agensi berita Yonhap, parti pembangkang utama, Parti Demokratik (DP) merancang untuk mengundi usul itu dalam sesi pleno yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang Sabtu ini.

Berdasarkan undang-undang, usul pendakwaan mesti diundi dalam tempoh antara 24 hingga 72 jam selepas dibentangkan dalam sesi pleno.

Usul pertama untuk mendakwa Yoon dibatalkan Ahad lepas apabila kebanyakan ahli parlimen parti pemerintah memboikot undian berkenaan. Susulan pembatalan itu, DP berikrar untuk mengemukakan usul pendakwaan terhadap Yoon setiap minggu.

Usul kedua ini turut menyertakan dakwaan bahawa tentera dan polis di bawah arahan presiden cuba menahan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, dakwaan terhadap Wanita Pertama Kim Keon Hee termasuk penglibatannya dalam skim manipulasi saham dan campur tangan dalam pencalonan pilihan raya melalui orang tengah, telah dikeluarkan daripada usul terbaharu, menurut laporan itu.

Semasa sesi soal jawab pada Jumaat, Ahli Parlimen Pembangkang turut dijangka mengemukakan soalan kepada anggota Kabinet mengenai ucapan awam Yoon sehari sebelumnya, yang kebanyakannya mempertahankan pengisytiharan undang-undang tentera dan menafikan ia sebagai satu tindakan pemberontakan.

Pembangkang telah meminta kehadiran antara lain Perdana Menteri Han Duck-soo, Menteri Kewangan Choi Sang-mok, Menteri Pendidikan Lee Ju-ho dan Menteri Luar Negeri Cho Tae-yul.

Pada sesi soal jawab Rabu lepas, Han memohon maaf atas kekecohan yang tercetus akibat pengisytiharan undang-undang tentera itu dan memaklumkan bahawa tiada seorang pun bersetuju dengan rancangan Yoon semasa mesyuarat Kabinet ringkas yang diadakan hanya beberapa minit sebelum pengisytiharan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top