USM ambil langkah proaktif hadapi gangguan bekalan air 

USM ambil langkah proaktif hadapi gangguan bekalan air 

GEORGE TOWN : Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif apabila membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah (BDR) semasa menghadapi gangguan bekalan air yang dijangka melanda kampus induk dan kejuruteraan universiti itu bermula esok hingga 28 April ini.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, ketika ini, Unit Pengurusan Bencana (UPB) USM yang bertindak sebagai Penyelaras Krisis Air telah menggerakkan pelbagai inisiatif bagi memastikan gangguan bekalan air selama 24 hingga 48 jam itu dapat diuruskan dengan lancar dan berkesan.

“Beberapa mesyuarat susulan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Prof. Dr. Azlan Amran bersama jabatan-jabatan terlibat juga telah diadakan bagi menyelaras tindakan dan persediaan yang perlu diambil. 

“Antara tindakan segera yang diambil termasuk arahan bekerja dari rumah pada 25 April oleh Jabatan Pendaftar sebagai langkah mengurangkan penggunaan air di kampus dan memberi keutamaan kepada keperluan penghuni desasiswa,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, langkah BDR itu secara tidak langsung dapat membantu Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM untuk memantau kapasiti air agar sentiasa mencukupi sepanjang tempoh gangguan tersebut.

“USM juga bekerjasama dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi membolehkan bekalan air disalurkan melalui lori-lori tangki ke tangki simpanan utama kampus, hasil keputusan mesyuarat bersama UPB,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pelaksanaan kaedah pembelajaran secara hibrid turut digalakkan sepanjang tempoh krisis bagi mengurangkan penggunaan air di dewan kuliah dan pusat pengajian.

“Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah mengeluarkan notis awal sejak Februari lalu agar semua aktiviti pelajar dihentikan dari 24 hingga 30 April, sebagai langkah pengurusan air yang lebih efisien,” katanya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air dari 25 hingga 28 April, ekoran pelaksanaan 23 projek yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta. – UTUSAN

Scroll to Top