am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berkat usaha gigih, seorang lelaki berjaya mengubah kehidupan apabila kini bergelar tukang masak dengan pendapatan lumayan walaupun sebelum ini hanya berniaga di tepi jalan.
Bagaimanapun, peluang menyertai program YP Advanced Skill pada 2023 membuka peluang buat Nazrul Nafis Roslan, 31, mengejar cita-cita untuk menjadi insan berjaya.
Penerima Anugerah Ikon Terbaik Program Jaminan Kerjaya berkata, dia menyertai program berkenaan selepas dicadangkan sepupunya kerana ingin berubah.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya berniaga makanan di tepi jalan di negeri berkenaan dan menyertai program itu untuk mendapat pekerjaan tetap.
“Saya mengambil kursus perkhidmatan hospitaliti dalam industri luar pesisir dan minyak serta gas di bawah YP Advanced Skills untuk tempoh sebulan.
“Sebaik sahaja menamatkan kursus, saya terus bekerja bermula sebagai steward di atas kapal sebelum dinaikkan pangkat menjadi pembantu tukang masak dalam tempoh tiga bulan.
“Dan akhirnya dalam tempoh tiga bulan seterusnya, saya berjaya menjadi tukang masak di sebuah syarikat perkapalan Jepun dan kini mengikat kontrak selama lima tahun dengan pendapatan agak lumayan,” katanya.
Nazrul Nafis berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Empowering De’ Tea Logue bersama Menteri Besar Pahang di sini, kelmarin.
Menurut bapa kepada dua orang anak itu, dia hanya mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja dan peluang mengikuti kursus berkenaan secara tidak langsung mengubah kehidupannya.
“Program Jaminan Kerjaya ini sangat memberi manfaat kerana peserta tidak perlu mengeluarkan kos, hanya memerlukan keinginan dan semangat untuk keluar daripada zon selesa bagi mempelajari sesuatu yang baru.
“Saya sangat kagum dengan inisiatif yang dilakukan oleh Yayasan Pahang, kerajaan negeri dan Menteri Besar Pahang. Usaha terbaik yang dilakukan untuk membantu belia mengubah kehidupan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd