Salvador, Brazil: Marcelo Bielsa percaya kemenangan 3-2 Uruguay ke atas Colombia dalam saingan kelayakan Piala Dunia Fifa kelmarin menerusi jaringan Manuel Ugarte pada minit ke-101 akan menjadikan mereka bertambah kuat.
Bekas pengurus Leeds itu sebelum ini berdepan tekanan selepas La Celeste tidak menang dalam lima perlawanan terakhir sejak menduduki tangga ketiga Copa America.
Namun mereka melonjak ke tangga kedua kelayakan Zon Amerika Selatan (Conmebol) mengatasi Colombia menerusi perbezaan jaringan selepas perlawanan sengit di Montevideo itu.
Jaringan Andres Gomez pada minit ke-96 tampak memberikan mata buat Colombia tetapi voli Ugarte beberapa minit selepas itu menggemuruhkan puluhan ribu penyokong sendiri.
Menurut Bielsa : “Kemenangan itu melegakan kami kerana ia menjadikan persefahaman kami lebih kuat, sekuat hubungan Uruguay dengan pasukan kebangsaan. Ia kemenangan menarik dan kesungguhan pemain jelas terserlah ketika menentang lawan yang sukar ditewaskan.”
Uruguay akan berdepan satu lagi misi getir menentang Brazil di tempat lawan pada pagi Rabu dengan Selecao kini berada di tangga keemapat selepas hanya seri 1-1 dengan Venezuela minggu lalu.
Bielsa menyedari tugas sukar menunggunya di Salvador. “Jika Colombia pasukan kuat dan berbahaya, Brazil lebih daripada itu,” katanya.
“Kami akan cuba menguasai bola dalam kawasan mereka dan bukan kawasan kami. Ada kalanya kami berjaya dan kadang-kadang tidak seperti ketika menentang Venezuela.”
© New Straits Times Press (M) Bhd