Pelakon, Kamal Adli yang diserang berkali-kali oleh lelaki tidak di kenali sewaktu di ekspo perniagaan di Singapura telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Difahamkan ketika ini dia telah dirawat di Hospital Besar Changi (CGH) dan menjalani pembedahan setelah mengalami kecederaan di bahagian belakang kepalanya koyak setelah dihentak menggunakan cota.
Memetik laporan dari Mstar, Uqasha yang dihubungi sempat menceritakan kejadian tersebut yang berlaku sekitar jam 9 hingga 10 malam sewaktu Kamal sedang melayani peminat untuk bergambar.
“Kami ingatkan dia peminat apabila Kamal tegur lelaki itu, dia tiba-tiba mengeluarkan cota dari poket sebelum menghayunnya berkali-kali di belakang kepala Kamal.
“Darah berjuraian di bajunya… apabila Kamal angkat kepala, dia pukul pada bahagian tulang pipi kemudian berkali-kali di badan. “Apa lebih menakutkan dia juga mempunyai senjata tajam,” katanya.
Pada awalnya, suspek memberi alasan bahawa dia melakukan tindakan tersebut kerana dihantar seseorang untuk menyerang Kamal dan mendakwa mempunyai isu peribadi dengan pelakon tersebut.
Namun, setelah diasak berkali-kali sewaktu ditahan pihak polis, lelaki terbabit mengatakan yang dia cemburu kerana Kamal mengahwininya Uqasha selain turut memberi ugutan kepada adik-beradik selebriti itu ketika ditempat kejadian.
“Apa membimbangkan dia mengugut dengan mengatakan dia ingat wajah kami semua dan kami akan menanggung akibatnya. “Dia membuat ugutan itu di hadapan polis yang datang untuk menahannya,” katanya.
Tambah pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu lagi, lelaki berusia 34 tahun turut membawa sebilah pisau kerambit di poketnya bagi tujuan mencederakan.
Uqasha yang masih trauma dengan apa yang berlaku dilihat sugul dan masih berada di hospital ketika ini.
Terdahulu, Uqasha Senrose dan beberapa rakan artis telah berkongsi kejadian serangan yang dialami oleh Kamal di media sosial. Dia juga memuat naik satu tangkapan layar mesej ugutan yang diterima dari lelaki berkenaan dan tidak sangka ia benar-benar berlaku.
Sumber: Mstar