UPSI bantu keluarga Farah termasuk kaunseling – Md Amin

UPSI bantu keluarga Farah termasuk kaunseling – Md Amin

PEKAN – Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah dianggap sebagai simbol kasih sayang dalam masyarakat dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berpendapat insiden menimpa bekas penuntutnya yang berusia  25 tahun dari Miri, Sarawak itu amat menyedihkan.

”Farah adalah salah satu simbol kasih sayang pada kita. Betul hari ini kita bersedih atas pemergian seorang pelajar cemerlang tapi kita harus berbangga kerana kita nampak jutaan rakyat Malaysia dan keprihatinan masyarakat.

”Allah itu kaya, sesuatu yang dia datangkan penuh rahmat, kalau kita tengok dengan insiden Farah ini seluruh Malaysia bersemangat dan bersatu, prihatinnya terserlah dan sayangkan kepada negara, Insya-Allah semangat ini kita suburkan terus.” katanya.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Md Amin Md Taff. Foto SYADILA AMARI, 18 JULAI 2024.

Tambah Md Amin, pihak UPSI akan memberikan sokongan berterusan kepada keluarga arwah ketika berada di Semenanjung dengan menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, bantuan kaunseling dan psikologi.

”Saya percaya semua tidak dapat menggantikan Farah namun kami cuba meringankan beban mereka.

”UPSI meraikan alumni, pesara dengan memberikan bantuan kerana dinamakan universiti untuk masyarakat apatah kami yang melahirkan guru dan mesti prihatin,” katanya ketika ditemui  bersama 60 penuntut termasuk alumni serta 20 kakitangan UPSI selepas pengebumian jenazah Nur Farah Kartini di sini semalam.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang bertugas siang malam dalam menyelesaikan kes terutamanya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Sungai Buloh dan seluruh warga UPSI.

Terdahulu jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan pada 5.20 petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan dekat sini.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette