'Upin & Ipin' tak pernah p ersoal

'Upin & Ipin' tak pernah p ersoal

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Puchong : “Saya cuma mahu tanam dalam diri anak supaya mereka jaga dengan baik apabila memakai lencana atau baju yang mempunyai lambang Jalur Gemilang kerana perlu dihormati, bukan boleh dibuat main.”

Begitu kata Ng Chee Kean, 46, ketika memberi reaksi berhubung hantarannya di Facebook yang tular sejak kelmarin.

Menerusi hantaran itu, Chee Kean mengingatkan dua anaknya, Ng Howie, 10, serta Ng Horace, 9, yang digelar Upin dan Ipin supaya bertutur bahasa Melayu bila memakai lencana Jalur Gemilang di dada.

Dalam hantaran sama, dia turut berkongsi peringatan dan syarat diletakkan kepada anaknya supaya meningkatkan penguasaan dalam bahasa Melayu atau mengambil semula lencana mereka.

Selain warganet, hantaran Chee Kean mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan terima kasih kepadanya dan mengajak bersama menyemai cinta untuk negara.

Bercerita lanjut, Chee Kean berkata, dia memuat naik hantaran itu, kelmarin dan tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian ramai kerana sekadar menceritakan pendekatannya dalam mendidik dua anaknya untuk menghormati Jalur Gemilang.

“Mesej saya cuba sampaikan kepada mereka (anak) bila pakai lencana Jalur Gemilang, kena jaga dengan baik dan jadi contoh kepada orang lain.

“Saya ingatkan mereka bukan setakat pakai lencana, tapi kena jaga tingkah laku sebab kita rakyat Malaysia. Sejak mereka kecil, sudah ajar dan sampai sekarang ‘Upin’ dengan ‘Ipin’ faham serta tak pernah mempersoalkan,” katanya.

Katanya, dia berharap apa dilakukan itu dapat menyemai semangat patriotik dalam diri kedua-dua anaknya untuk terus mencintai negara.

“Sebagai bapa, saya cuma lakukan apa yang sepatutnya iaitu ajar anak dari mereka kecil. Tak fikir pun nak tular, cuma sekarang zaman media sosial, jadi orang mudah ‘melompat’ bila tengok atau baca benda negatif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top