Apabila menantikan kehadiran cahaya mata sulung, si suami pasti meluangkan lebih banyak masa dengan memberikan penjagaan rapi kepada isterinya kerana teruja bagi menimang zuriat pertama.
Situasi seperti itu terjadi kepada Emaa Samsudin apabila suaminya, Mohamad Hafiz gigih melakukan ‘spot check’ buku rekod kehamilan apabila setiap kali wanita tersebut pulang dari pemeriksaan kandungan.
Menerusi satu video dikongsi di aplikasi TikTok, dia merakam aksi suaminya yang sedang memeriksa satu per satu maklumat ditulis dalam buku ‘pink’ tersebut untuk mengetahui perkembangan bayi dalam kandungan.
@emaasamsudin_ Dah kena bebel dekat klinik . Sambung pulak kena bebel dekat rumah 😂
Malah wanita berasal dari Taiping, Perak itu sempat berseloroh, dia sudah tentu perlu ‘tadah telinga’ mendengar semua nasihat suaminya yang juga anggota tentera bagi memastikan kesihatannya dalam keadaan baik.
“Tiap kali balik check-up, memang dia akan spot check buku pink. Masak la telinga kalau ada yang tak kena. Ini kalau ikut pergi check-up, mau dia join doktor tu sekali bebel kat kita,” guraunya.
Meninjau ke ruangan komen, video yang meraih 247,000 tontonan itu menerima ratusan komen dalam kalangan warganet yang terhibur melihat gelagat prihatin suami Emaa.
Rata-rata mempersoalkan jika suaminya memahami apa maklumat ditulis oleh doktor selain menyamakan situasi itu seperti seorang guru memeriksa buku laporan muridnya.
Bagaimanapun, Emma tidak berkongsi lebih lanjut mengenai usia kandungannya dan difahamkan mereka mendirikan rumah tangga pada Mei lalu. Moga dipermudahkan urusan bersalin nanti ya!
Sumber: TikTok @emaasamsudin_