Universiti perkukuh kerjasama dengan sekolah dalam pembudayaan STEM

Kuala Lumpur: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan antara program yang diberikan penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Sehubungan itu, pihak universiti semakin rancak membina kolaborasi dengan sekolah bagi menarik minat lebih ramai pelajar menceburi bidang STEM di peringkat sekolah.  Dalam meningkatkan pembudayaan STEM di sekolah, pelbagai tindakan dan pelan strategi yang dirangka oleh pihak universti dan sekolah bagi menjayakan program ini. Jadi, apakah peranan jaringan kolaborasi pihak universiti dengan sekolah dalam meningkatkan pembudayaan STEM di sekolah.

Peranan jaringan kolaborasi pihak universiti dengan sekolah amatlah penting dalam meningkatkan pembudayaan STEM di sekolah. Kerjasama dan program- program yang dirangka bersama akan memberikan impak yang positif dalam kalangan pelajar sekolah. Ini adalah kerana pelajar sekolah tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di luar bandar semakin celik dan tahu tentang pendidikan STEM ini.

Peranan jaringan kolaborasi

Antara peranan yang telah dilaksanakan oleh kolaborasi pihak universiti dan sekolah dalam meningkatkan pembudayaan STEM di sekolah adalah program pameran dan pertunjukan aplikasi pendidikan STEM. Contohnya, pihak universiti telah menjalinkan kolaborasi dengan sekolah dengan mengadakan program STEM yang menampilkan pelbagai inovasi didik hibur dan hasil rekacipta dan inovasi bagi meningkatkan minat dalam STEM dalam kalangan pelajar. Program ini telah memberi impak positif dalam kalangan pelajar yang kurang minat dalam STEM. Impaknya, program ini telah dapat meningkatkan literasi STEM dalam kalangan pelajar.

Selain itu, pihak sekolah juga telah menyediakan sebuah bilik STEM dengan kerjasama pihak universiti yang menempatkan alat bantu mengajar (ABM) dan bahan bantu mengajar (BBM) yang berkaitan pendidikan STEM. Bilik ini telah membabitkan proses renovasi dan transformasi kepada bilik interaktif STEM. Pelajar juga dapat mengakses bilik ini bila- bila masa sahaja semasa atau selepas PdPc. Kesannya, program seperti ini dapat membuka mata dan meningkatkan minat pelajar dalam menceburi bidang STEM.

Pengintegrasian pendidikan STEM

Mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi, Asas Sains Komputer (ASK) dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) juga berkaitan dengan bidang STEM ini. Oleh kerana KPM sangat menitikberatkan pengintegrasian pendidikan STEM dalam PdPC, maka guru-guru telah memainkan peranan dengan menyertai latihan dan kursus dengan usaha sama pihak universiti yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam ataupun swasta. Dengan pelaksanaan pendidikan STEM semasa PdPc dalam bilik darjah, guru dapat meningkatkan kualiti pengajaran khususnya yang mencakupi aspek berfikiran kreatif, kritis, mahir menaakul serta berstrategi untuk berfikir terutamanya subjek matapelajarn yang terlibat seperti mata pelajaran Matematik, Sains, Fizik, Kimia, Biologi, Asas Sains Komputer (ASK) dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Kesimpulannya, pelbagai usaha dan peranan yang dijalankan daripada kolaborasi antara pihak universiti dan sekolah dalam mengatasi cabaran dan isu-isu yang timbul dalam meningkatkan pendidikan STEM di sekolah. Peranan kolaborasi antara pihak universiti dan sekolah ini telah dapat membuka mata pelajar sekolah dalam menceburi bidang pendidikan STEM dan sekaligus memperkasakan pendidikan STEM dalam sistem pendidikan di Malaysia.

 

Penulis:

NUR HIDAYATUL SOLEHAH AMINUDIN

Mahasiswa Sarjana Pendidikan Biologi, FSM, UPSI

MOHD MOKHZANI IBRAHIM

Pensyarah Fakulti Sains & Matematik, UPSI

Scroll to Top