LEGENDA Manchester United, Paul Scholes menegaskan bahawa pengendali pasukan, Ruben Amorim masih belum berada dalam risiko kehilangan jawatannya di Old Trafford meskipun menghadapi permulaan sukar dalam tugasnya.
Amorim yang membimbing United sejak pertengahan November lalu masih gagal membawa skuad The Red Devils keluar dari kelompok pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Harapan untuk melayakkan diri ke saingan Eropah menerusi liga domestik tampak semakin pudar, manakala tersingkir daripada saingan Piala FA hujung minggu lalu bermakna Liga Europa menjadi satu-satunya peluang terakhir untuk meraih kejayaan musim ini.
Permulaan yang kurang memberangsangkan itu menyaksikan terdapat desas-desus bahawa Amorim berada dalam tekanan untuk mengekalkan jawatannya jika situasi tidak berubah dengan drastik.
Namun, Scholes ketika bercakap kepada TNT Sports, menegaskan bahawa pengendali dari Portugal itu akan diberikan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jendela perpindahan sebelum penilaian sebenar dibuat oleh pemilik kelab, Ineos.
“Saya tidak fikir ada tekanan besar ke atasnya ketika ini. Saya rasa dia masih selamat dan akan diberikan masa yang mencukupi.
“Dia perlu mengubah kelab ini. Dia belum benar-benar membawa masuk pemain kecuali (Patrick) Dorgu, yang bagi saya telah menunjukkan prestasi baik ketika diturunkan.
“Tetapi masih banyak bahagian dalam pasukan yang perlu diperbaiki. Mereka harus memberikan dia tiga atau empat jendela perpindahan dan ia akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan United ke tahap sepatutnya,” katanya.
Menurut Scholes, United perlu terus mengharapkan Amorim kerana tidak banyak pilihan lain yang ada.
“Dia masih muda, berbakat dan mempunyai pemikiran yang baik. Dia juga berjaya membawa Sporting Lisbon ke tahap yang cemerlang, seperti yang kita semua tahu.
“Banyak perkara sedang berlaku di belakang tabir yang mungkin tidak membantu dirinya dan juga pasukan. Itu pasti memberikan kesan kepada mereka. Jadi, berikan dia masa, beri sokongan dan harapnya dia boleh membina pasukan yang mampu membawa United ke hadapan,” katanya.