UniSZA tubuh Pusat Satelit ISN

UniSZA tubuh Pusat Satelit ISN

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menubuhkan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) dengan fokus kepada perubatan sukan.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pusat satelit dikelolakan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) itu menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan rehabilitasi sukan termasuk ujian diagnostik, radiologi, pemulihan kecederaan, ujian kecergasan serta konsultasi pemakanan sukan.

“Selain memberi rawatan kepada atlet, pusat satelit ini membuka peluang besar dan kerjasama berkaitan pembangunan perkembangan aplikasi sains, perubatan, bidang inovasi, teknologi sukan, pendidikan serta penyelidikan.

“Kerjasama ini mampu meningkatkan nilai tambah dalam memacu prestasi atlet ke arah kecemerlangan sukan negara unggul dan bertaraf dunia,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Satelit ISN, UniSZA, semalam.

Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli di Kompleks Sukan UniSZA, Kampus Gong Badak itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Marina Chin dan pihak pengurusan UniSZA.

Dr Fadzli berkata, pusat itu beroperasi sejak Oktober tahun lalu di Pusat Rehabilitasi UniSZA Kampus Gong Badak dengan kerjasama Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).

Katanya, komitmen itu bukan sahaja akan dapat meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan rawatan kepada atlet, malah memudahkan serta merancakkan kerjasama dan perkongsian maklumat serta pengetahuan antara UniSZA dengan ISN.

© New Straits Times Press (M) Bhd