Uniform tentera era Perang Dunia Kedua dalam bungkusan berusia 70 tahun – Utusan Digital

Uniform tentera era Perang Dunia Kedua dalam bungkusan berusia 70 tahun – Utusan Digital

LONDON: Sepasang uniform Tentera Udara Diraja Britain ketika era Perang Dunia Kedua ditemukan dalam bungkusan yang tidak pernah dibuka selama 70 tahun.

Bungkusan yang dibalut dengan kertas berwarna coklat dan akhbar itu ditemukan ketika kerja-kerja pembersihan sebuah rumah dilakukan di Staffordshire sebelum diserahkan kepada agensi lelongan.

Bungkusan itu mengandungi baju uniform rasmi tentera udara Britain yang masih elok dan dipercayai digunakan sehingga tahun 1943.

Pakaian seragam yang dilengkapi dengan lencana, butang dan tali pinggang itu dijangka dijual pada harga ratusan pound apabila dilelong oleh Hansons Auctioneers, di Etwall, Derbyshire pada 24 September ini.

Pemilik agensi lelong tersebut, Charles Hanson berkata, membuka bungkusan itu sama seperti membuka hadiah yang sudah dilupakan.

“Selepas bungkusan ini ditemukan, saya tidak sabar untuk mengetahui apa yang terkandung di dalamnya.

“Akhbar yang diikat bersama bungkusan itu diterbitkan pada tahun 1951, bermakna bungkusan itu tidak pernah dibuka selama 70 tahun,” katanya kepada Metro.

Hanson menyifatkan uniform tersebut sebagai barangan bersejarah ketenteraan, selain dalam keadaan masih elok dan boleh dipakai.