Unicef puji tindakan PDRM selamatkan 402 kanak-kanak, remaja

Unicef puji tindakan PDRM selamatkan 402 kanak-kanak, remaja

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memuji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa negara ini menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada penganiayaan.

Wakil Unicef di Malaysia, Robert Gass berkata, pihaknya bimbang apabila kanak-kanak dan remaja di beberapa rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan itu didakwa menghadapi penganiayaan, penderaan seksual dan pengabaian.

Katanya, pihaknya percaya kanak-kanak berkenaan mengalami trauma yang teruk selain memerlukan sokongan dari aspek perubatan dan psikososial.

“Kami memuji tindakan PDRM dan pihak berkuasa negara atas usaha mereka menyelamatkan kanak-kanak ini dan berharap ini menandakan permulaan proses penyembuhan mereka.

“Namun, selagi kanak-kanak tinggal di tempat penjagaan institusi yang tidak diatur, mereka tetap terdedah kepada penganiayaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Gass berkata, Unicef menyokong kehadiran pekerja sosial yang berkelayakan untuk memantau rumah kebajikan berkenaan dan komited untuk membantu kerajaan dalam melindungi kanak-kanak.

Katanya, pihaknya turut menghargai komitmen pekerja sosial dalam mencegah perpisahan keluarga yang tidak perlu.

“Dasar toleransi sifar terhadap kekerasan terhadap kanak-kanak adalah penting kerana setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran keluarga yang penyayang,” katanya.

Polis semalam dilapor menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun menerusi Op Global, selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.

Hasil serbuan itu katanya, mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang kurang sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

Harian Metro dan Metro Ahad dalam laporan eksklusif sebelum ini mendedahkan bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat berkaitan produk Islam terkenal.

Antaranya, membakar tangan, perlu cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual.

Malah, ada dalam kalangan penghuni menjadi mangsa liwat dan lebih malang selepas diliwat, mereka pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.

Penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu, namun terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa, Rabu lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd