am@hmetro.com.my
Tawau: UMNO menegaskan kesediaannya untuk kembali menjadi parti dominan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keyakinan itu berdasarkan semangat baharu yang luar biasa ditunjukkan barisan kepimpinan negeri dan ahli di semua peringkat.
Menurutnya, UMNO Sabah melalui pelbagai ujian getir sejak 2018 yang menyaksikan beberapa pemimpin utamanya bertindak keluar meninggalkan parti itu.
“Kalau ikut hukum hakam apabila kemelut UMNO negeri pada 2018, ramai yang beranggapan UMNO Sabah akan berkubur tetapi sebaliknya kita ada seorang Panglima (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin) yang terus berjuang menghidupkan UMNO Sabah.
“Ya memang benar pemimpin datang dan pergi tetapi pemimpin yang telah diuji, yang disengsarakan, yang disusahkan itulah pemimpin sebenar.
“Apa maksud susah dan sengsara itu ialah kerana pemimpin UMNO Sabah yang mempunyai daya tahan apabila ujian terpaksa ditempuh demi perjuangan serta kemakmuran rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan ahli UMNO daripada 25 Cawangan seluruh Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh kepimpinan dan ahli di semua peringkat dengan semangat tinggi memberi fokus kepada gerak kerja jentera yang lebih strategik dan tersusun untuk meraih kembali kepercayaan rakyat.
“Kita sama-sama mohon kepada Allah semoga jangan ada lagi ujian dan jika ditakdirkan kita menang semula pada PRN akan datang kita anggap itu juga sebagai ujian untuk kita tambah baik prestasi.
“Kalau sebelum ini kita mampu bertahan selama tujuh tahun insya-Allah kali ini ‘musim kemarau’ akan berakhir,” katanya.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu juga menjelaskan beliau berpuas hati dengan prestasi Adun UMNO di Sabah berdasarkan pemantauannya setakat ini.
Mengenai manifesto PRN Sabah pula, beliau berkata UMNO tidak menjanjikan harapan setinggi bulan dan bintang namun memberi keutamaan kepada masalah asas seperti bekalan air dan elektrik selain projek lebuhraya Pan Borneo yang perlu diselesaikan.
Pada sidang media selepas itu, beliau berkata UMNO akan mengetengahkan calon-calon muda yang berwibawa dan berpengalaman termasuk dari kalangan Pemuda dan Wanita yang mempunyai potensi besar melakar kemenangan bagi memastikan keperluan rakyat Sabah diberi keutamaan.
Terdahulu, beliau turut merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Kalabakan dan mengadakan mesyuarat tertutup serta menyampaikaan amanat kepada Ketua-Ketua Bahagian UMNO Zon 6.
-ends/
Caption :
1. TAWAU 23 FEBRUARI 2025. Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34, di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
2. TAWAU 23 FEBRUARI 2025. Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera UMNO pada sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34, di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
From: Ar
© New Straits Times Press (M) Bhd