KANGAR: Kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang semakin mengukuh khususnya selepas melakar kejayaan hatrik dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini menyukarkan Perikanan Nasional (PN) merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini.
Malah, sejak lebih setahun lalu, PN yang semakin ketandusan isu selain hanya bermodalkan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum sebagai ‘peluru’ dilihat sukar untuk menarik sokongan pengundi di kawasan yang mempunyai komposisi sekitar 55 peratus pengundi Melayu itu.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, imej UMNO yang dilihat semakin pulih telah berjaya menarik kembali sokongan pengundi Melayu selain ditambah dengan pengundi dari Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pada masa ini, PN hanya mempunyai peluang cerah untuk menang di kawasan yang melebihi 70 peratus pengundi Melayu.
“PN mempunyai masalah untuk membina kekuatan di kawasan yang mempunyai pengundi campuran disebalik UMNO pula terus mengukuh di kawasan campuran itu.
“UMNO yang telah menunjukkan kebangkitan dalam beberapa PRK sebelum ini mampu meneruskan kejayaan dalam PRK Ayer Kuning ini. Malah, pengundi Melayu juga sudah semakin beralih sokongan kepada UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, manakala undi awal berlangsung 22 April, berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr. Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.
Beliau berdepan saingan Pengerusi PN Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
Muhammad Izmer berkata, PN perlu segera melakukan perubahan sebagai pembangkang yang lebih berwibawa bagi mengelak mereka berdepan kesukaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Jika ia berterusan, kemungkinan banyak kerusi yang PN menang di negeri bukan tradisi seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Melaka sebelum ini akan semakin berkurangan.
“PN mungkin hanya mampu bertahan di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu sahaja selepas ini. PN perlu bangkit dengan isu lebih relevan bagi menarik perhatian rakyat bukan sekadar isu 3R sahaja,” katanya.-UTUSAN