am@hmetro.com.my
Kangar: Umat Islam dituntut memiliki kefahaman dalam bidang al-Quran serta menguasai ilmu bahasa, dunia digital dan kecerdasan buatan (AI) agar tidak ketinggalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di dalam kepesatan dunia ilmu ketika ini, umat Islam perlu terus menggali dan mempelajari dengan menjadikan al-Quran sebagai pedoman.
“Sudah tentu dalam kerangka menggali, mempelajari dan menjadikan al-Quran itu sebagai pedoman, kita juga dituntut menghayati sejauh mana dapat menguasai al-Quran serta menjadikannya pedoman ke arah persatuan dan membina kekuatan.
“Pada masa sama penguasaan bahasa, penguasaan digital dan penguasaan AI memerlukan kita menangkapnya dengan cepat agar kita ketinggalan.
“Jadi dalam menghadapi ini semua, kita masih mendasari pemahaman asas al-Quran dan penghayatannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar berkata, perkembangan dunia menyebabkan bidang ilmu sentiasa diperlukan dalam membangunkan negara dan tamadun di seluruh dunia.
Katanya, pembangunan juga perlu dilaksana bersama nilai dan akhlak mulia bagi mengelak umat menjadi rakus dan mencabar nilai kemanusiaan.
“Dasar ilmu yang dicermati dan dihayati mampu membina kekutan baru tamadun bagi mengangkat negara agar tidak ketinggalan dalam apa jua bidang.
“Kebenaran harus diangkat tanpa meninggalkan kekuatan akidah yang dimiliki umat Islam di seluruh negara dengan berlandaskan kekuatan al-Quran itu sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd