am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Selepas kejayaan Shila Amzah, penyanyi remaja meningkat naik, Ummi Umairah Abdullah, 14, atau Umai dalam perancangan untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya ke China.
Umai yang juga anak saudara biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah artis pertama yang bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat, SN Legacy Sdn Bhd milik penyanyi terkenal itu.
Siti ketika ditemui berkata, dia berharap Umai boleh mengembangkan bakat nyanyiannya ke China kerana dia memiliki kelebihan berbahasa Mandarin.
“Umai kena banyak lagi belajar perkara membabitkan aspek persembahan untuk menjadi penghibur sebab kita ada karakter sendiri dan itu adalah kelebihan utama yang sangat besar.
“Bila kita ke sana tidak bawa karakter nilai sebagai penghibur, ia akan menjadi sukar sebab mereka mempunyai ramai penghibur yang bagus,” katanya.
Mengulas mengenai pasaran muzik di China, Siti berkata, ia sesuatu yang sangat luar biasa kerana dia pernah berkunjung ke negara itu beberapa kali sebelum berkahwin.
“Saya pernah ke sana beberapa kali sebelum berkahwin untuk menyertai pertandingan nyanyian di Shanghai dan membuat persembahan di Taiwan ketika itu.
“Jadi, saya melihat ia pasaran yang sangat luas untuk diteroka dan bertuah kalau dapat meneroka pasaran muzik di sana.
“Selepas menang dan beberapa kali buat persembahan di sana dulu, saya terus berkahwin dan hasrat itu meneroka pasaran muzik di China tidak tercapai. Jadi, saya harap Umai boleh ke sana pula nanti,” katanya.
Ditanya sama ada dia yakin, Umai akan diterima dan berjaya menempa nama di China, Siti berkata, dia lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif.
“Kita kena cuba dululah, Insya-Allah. Mereka di sana memang suka dengan keunikan dan bila tengok ada orang luar yang boleh fasih bahasa Mandarin dan boleh nyanyi lagu Mandarin, mereka juga hargai, contohnya, penyanyi Shila Amzah yang diterima di sana.
“Ada banyak pertandingan nyanyian di China dan kita juga ada banyak ruang dan peluang di sana cuma perlu berani mencuba bakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd