UM agih 4,000 bubur lambuk

UM agih 4,000 bubur lambuk

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) hari ini mengedarkan 4,000 pek bubur lambuk kepada warga kampus dan orang ramai sempena Majlis Iftar Perdana UM 2025.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, sumbangan juadah tradisional itu adalah sebahagian tanda kebersamaan universiti berkenaan dalam menyemarakkan amalan bersedekah terutama pada Ramadan.

“Agihan bubur lambuk ini dibuat di tiga lokasi utama, iaitu di Pusat Perubatan UM (PPUM) sebanyak 1,000 pek, di hadapan Dewan Tunku Cancelor sebanyak 500 pek dan Pintu Pagar Petaling Jaya sebanyak 500 pek.

“Selain itu, kita juga mengagihkan 600 pek bubur lambuk disediakan untuk Majlis Iftar dan selebihnya diagihkan kepada Pusat Tanggungjawab (PTj).

“Semoga sumbangan kecil ini membawa kegembiraan kepada mereka yang menerima dan menjadi inspirasi untuk kita semua agar terus melakukan kebaikan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Tunku Cancelor UM di sini, hari ini.

Beliau berkata, program itu turut disemarakkan dengan tadarus dan tilawah Al-Quran serta majlis khatam Al-Quran yang disertai kakitangan dan pelajar UM.

“Aktiviti ini bukan sahaja mendekatkan kita dengan Al-Quran tetapi juga mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga universiti,” katanya.

Pada majlis berkenaan, beberapa syarikat korporat turut menyumbang RM90,500 kepada komuniti UM melalui Wakalah Zakat.

Noor Azuan berkata, sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu meringankan bebanan pelajar, tetapi juga mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti universiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top