ISKANDAR PUTERI – Ulsan HD mencatatkan rekod terburuk apabila tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kumpulan zon timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di sini malam tadi.
Skuad kendalian Kim Pan Gon itu bukan sahaja kecundang dalam semua perlawanan setakat ini malah gagal mendapatkan sebarang gol sekali gus mencalarkan reputasi juara Liga K1 tiga musim berturut-turut itu.
Meskipun berdepan permulaan buruk itu, bekas pengendali Harimau Malaya itu masih belum mahu mengaku kalah bahkan optimis kelab Korea Selatan itu masih mampu untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik.
“Prestasi Ulsan HD dalam saingan ACLE sehingga kini amat mengecewakan, kita bukan sahaja gagal mengutip sebarang mata bahkan tidak mampu mencipta sebarang jaringan. Justeru, saya ingin memohon maaf kepada penyokong atas persembahan buruk ini.
“Kita bukannya beraksi dengan buruk dan tidak berupaya menjana serangan, namun ketumpulan penyudah menyebabkan kita berada di kedudukan ini. Kita perlu menjadi lebih baik sekiranya ingin melangkah jauh dalam saingan ACLE,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Dalam aksi ACLE malam tadi, Ulsan HD ketinggalan seawal minit ketiga hasil jaringan Arif Aiman Hanapi berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan kelab Korea Selatan itu sebelum Oscar Arribas dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan satu gol pada babak kedua memastikan tiga mata buat JDT.
Mengulas lanjut, Pan Gon enggan memberi 1,001 alasan setelah pasukan kendaliannya tewas kepada wakil tunggal Malaysia walaupun sedia maklum mengenali gaya permainan pemain kebangsaan seperti Arif Aiman Hanapi, Natxo Insa dan Afiq Fazail.
Jelasnya, kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat Ulsan HD untuk memperbaiki kelemahan pasukan dan bangkit pada perlawanan seterusnya bagi menghidupkan sisa peluang dalam saingan ACLE.
“Tidak dinafikan kita berdepan dengan jadual perlawanan yang padat dengan perlawanan terakhir menentang Gangwon FC berlangsung lima hari yang lalu, pemain juga kepenatan setelah menempuh penerbangan selama enam jam selain berdepan isu kecederaan pemain.
“Tiada gunanya kita memberi sebarang alasan sebaliknya melupakan kekalahan ini dan membuat persiapan rapi untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang menentang kelab China, Shanghai Port di laman sendiri,” tambahnya.
Ulsan Hyundai akan berdepan Shanghai Port pada 26 November ini diikuti pertemuan menentang kelab China, Shanghai Shenhua (4 Disember), kelab Thailand, Buriram United (12 Februari) dan kelab China, Shandong Taishan (19 Februari).- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL