London: Polis United Kingdom (UK) pada Selasa memulakan siasatan terhadap insiden yang disifatkan sebagai jenayah kebencian berunsur Islamofobia selepas 85 kubur, termasuk milik bayi dan kanak-kanak, diceroboh dan dirosakkan di bahagian perkuburan Islam di Tanah Perkuburan Carpenders Park Lawn di Watford, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut Polis Hertfordshire, kerosakan akibat jenayah itu, yang dikesan oleh sebuah keluarga ketika melawat kawasan perkuburan mencetuskan kejutan dan kesedihan dalam kalangan komuniti Islam tempatan.
Rondaan turut dipertingkatkan di kawasan itu dan pihak polis memohon saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Inspektor Will Rogers-Overy mengesahkan yang pegawai kanan polis sedang bekerjasama dengan pemimpin komuniti untuk menyokong keluarga yang terjejas.
“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan terus berhubung dengan komuniti Islam, yang pastinya amat terkesan dengan jenayah mengerikan ini,” katanya.
Wadi Funeralcare, yang menyediakan perkhidmatan kepada ramai keluarga Islam di rantau itu, menyifatkan tindakan menceroboh dan merosakkan kubur sebagai “menyayat hati” serta melibatkan “perbuatan tidak berperikemanusiaan yang tidak dapat diterima.”
Tanah Perkuburan Carpenders Park Lawn, meskipun terletak di Watford, dimiliki dan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Brent.
Ketua majlis Muhammed Butt, mengecam insiden itu sebagai satu tindakan yang berkemungkinan bermotifkan kebencian terhadap Islam.
“Nampaknya kubur Muslim menjadi sasaran dalam satu jenayah kebencian berunsur Islamofobia,” kata Butt.
“Simpati kami kepada keluarga mereka yang kuburnya diceroboh. Kami akan menggantikan plak nama yang rosak dan memulihkan kawasan tanah perkuburan ini sebagai tempat penuh ketenangan dan kenangan sebaik sahaja siasatan polis selesai.”
Abbas Merali, ahli majlis dari Majlis Daerah Three Rivers mewakili Parti Konservatif, menyifatkan perbuatan vandalisme itu sebagai “tindakan kejam” yang menyebabkan “kesedihan mendalam kepada keluarga yang sedang berkabung serta luka yang menyayat hati dalam kalangan masyarakat.”
© New Straits Times Press (M) Bhd