PEMBANGUNAN sukan ragbi di Selangor terus diperkasakan hasil perkongsian kepakaran antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Khamis.
Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Roziah Md Janor, jalinan kerjasama dengan KRS ini membuktikan komitmen dan kesungguhan UiTM untuk bersama membangunkan serta memperkasakan bidang sukan ragbi sebagai antara agenda sukan universiti.
“Sebenarnya kerjasama strategik antara universiti dengan persatuan sukan seperti ini menjadi amalan biasa yang dilakukan di kebanyakan universiti luar negara dalam meningkatkan mutu kecemerlangan sukan ragbi seperti di New Zealand dan Australia.
“Kerjasama ini secara tidak langsung membantu membentuk satu perancangan agar sukan ini dapat melahirkan para pemain ragbi berkemahiran tinggi bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam bidang sukan.
“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UiTM sentiasa membantu agensi luar untuk bersama-sama berganding bahu dan berkongsi kepakaran supaya program ini mendapat manfaat antara kedua-dua belah pihak. Ini merupakan perancangan sinergi bagi meningkatkan produktiviti UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang unggul di Selangor,” katanya.
Profesor Dr Roziah berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU tersebut dengan KRS diwakili presidennya, Syed Aldrin Syed Kabeer di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM pada Khamis.
Menurut Profesor Dr Roziah selain, Pusat Sukan, beberapa fakulti UiTM turut terlibat dalam memberikan kepakaran atau peluang kerjasama terutamanya dalam bidang penyelidikan dengan KRS.
Jelasnya, kerjasama UiTM dan KRS ini secara tidak langsung meningkat, membantu dan merancang pembangunan atlet dengan lebih teratur termasuk memberi peluang kepada pemain ragbi Selangor yang berkelayakan melanjutkan pengajian ke UiTM seterusnya mewakili UiTM Lions ke kejuaraan peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.