Ugut bakar rumah ibu, jurujual didenda RM3,000

Ugut bakar rumah ibu, jurujual didenda RM3,000

GEORGE TOWN – Seorang jurujual didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut bakar rumah ibu kandungnya pada Julai lepas.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin menjatuhkan hukuman itu ke atas Kelvin Gun Soon Ming, 44, dan memerintahkannya dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan Soon Ming didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya yang berusia 69 tahun dengan berkata: “tak bagi duit mahu bakar rumah,” sekali gus mendatangkan kegentaran serta ketakutan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Angsana Bandar Baru, Ayer Hitam di sini, jam 10.30 malam pada 9 Julai lalu.

Tertuduh didenda RM3,000 dan gagal bayar dipenjara lapan bulan.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminta RM5,000 daripada ibunya untuk membeli kereta namun wanita itu enggan memberinya.

Ini membuatkan tertuduh melakukan ugutan jenayah tersebut.

Terdahulu, Soon Ming yang diwakili peguam, Yiew De Xien merayu hukuman denda minimum bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran atas alasan hubungan mangsa dengan tertuduh selain kesalahan itu bersifat keganasan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top