Ucapan Aishah tak profesional lepas tersingkir ASGV – Netizen

Ucapan Aishah tak profesional lepas tersingkir ASGV – Netizen

KUALA LUMPUR – Netizen menyifatkan penyanyi, Datuk Aishah tidak profesional selepas diumumkan menjadi bintang ketiga yang tersingkir dalam program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (ALGV).

Ini gara-gara ucapan ringkas yang dibuat oleh beliau malam tadi yang menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Netizen berpendapat, ASGV merupakan satu pertandingan dan menjadi adat akan ada peserta yang tersingkir sekiranya menampilkan persembahan yang gagal mencuri hati juri.

“Rasanya ramai yang gembira apabila doa mereka dimakbulkan untuk lihat saya tersingkir,” katanya sehingga membuatkan hos rancangan itu, Jihan Muse dilihat agak terkejut.

Konsert minggu keempat itu menyaksikan Aishah menduduki tangga terbawah dengan memperoleh markah sebanyak 43.75 peratus selepas muncul secara duet menyanyikan lagu Terlanjur Cinta bersama Vince.

Konsert minggu keempat GV10 yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA Shah Alam menyaksikan Noryn Aziz menduduki tempat pertama dengan markah sebanyak 85.25 peratus diikuti Liza Hanim (85 peratus) dan Ayai (83.25 peratus).

Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional Ramli MS, Hetty Koes Endang dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

Konsert GV10 diacarakan pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Terdahulu, Suki Low dan Cliff Umar menjadi dua peserta pertama yang tersingkir dalam GV10 ketika konsert minggu kedua.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – MalaysiaGazette

Scroll to Top