ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mengikut perancangan barisan kejurulatihan kebangsaan, pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dijangka kembali ke kejohanan kompetitif sebelum penghujung April depan.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen menegaskan fokus utama adalah memastikan Tze Yong benar-benar bersedia sebelum kembali beraksi, sambil mengambil kira tempoh perlindungan ranking pemain itu yang bakal berakhir hujung April.
“Tempoh perlindungan ranking Tze Yong akan tamat pada hujung April dan kami sedang menyusun langkah sesuai.
“Matlamat kami adalah untuk melihat dia kembali beraksi sebelum hujung April, tetapi hanya apabila dia benar-benar bersedia,” katanya.
Namun, Jonassen menegaskan mereka tidak mahu terburu-buru menyenaraikannya ke kejohanan sekiranya tahap kesediaannya masih belum mencapai standard diperlukan.
Berdasarkan senarai Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama Tze Yong tidak tersenarai dalam tiga kejohanan Eropah akan datang iaitu Terbuka Jerman (25 Februari – 2 Mac), Masters Orleans (4 – 9 Mac) dan Seluruh England (11 – 16 Mac).
Sekiranya kembali ke gelanggang, kemungkinan besar kejohanan pertama Tze Yong adalah di Terbuka Switzerland dari 18 hingga 23 Mac.
Pada Mei lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memohon perlindungan ranking buat Tze Yong kepada BWF selepas pemain itu menjalani dua pembedahan belakang.
Ranking terakhirnya sebelum perlindungan itu adalah ke-18 dunia.
Perlindungan ranking itu membolehkan pemain yang mengalami kecederaan serius untuk mengekalkan kedudukan mereka agar layak menyertai kejohanan dalam Jelajah Dunia BWF selepas kembali pulih.
Sebagai rekod, Tze Yong hanya beraksi dalam dua kejohanan tahun lalu iaitu Terbuka Malaysia pada Januari dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada Februari.
© New Straits Times Press (M) Bhd