Tyson tidak menyesal

Tyson tidak menyesal

Washington: Bekas juara heavyweight dunia Mike Tyson, berkata, dia tidak menyesal tewas kepada Jake Paul dalam pertarungan tinju heavyweight mereka selepas kembali ke gelanggang ‘untuk kali terakhir’.

Legenda berusia 58 tahun itu tewas menerusi keputusan sebulat suara semalam kepada Paul, bintang YouTube berusia 27 tahun, di Stadium AT&T, gelanggang utama Dallas Cowboys, di hadapan 72,300 penonton secara langsung dan 60 juta penonton di seluruh dunia menerusi siaran Netflix.

“Ini salah satu situasi di mana anda kalah tetapi sebenarnya menang,” tulis Tyson di platform X pada Sabtu.

“Saya bersyukur untuk malam semalam. Tiada penyesalan untuk kembali ke gelanggang kali terakhir.”

Tyson, yang mendedahkan bahawa dia hampir meninggal dunia pada bulan Jun akibat masalah kesihatan, tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke gelanggang dalam komen sejurus selepas kekalahan berkenaan.

Dia menyatakan bahawa peluang untuk bertarung sudah menjadi kemenangan tersendiri – memperincikan masalah kesihatan yang menyebabkan pertarungan itu ditangguhkan dari Julai selepas dia mengalami situasi mencemaskan semasa penerbangan dari Miami ke Los Angeles pada bulan Mei, di mana dia muntah darah.

“Saya hampir mati pada bulan Jun,” kata Tyson.

“Menerima lapan pemindahan darah. Kehilangan separuh darah dan 25 paun di hospital, dan terpaksa berjuang untuk kembali sihat demi bertarung, jadi saya menang.

“Untuk anak-anak saya melihat saya bertahan lapan pusingan dengan seorang petinju berbakat separuh usia saya di hadapan stadium Dallas Cowboys yang penuh sesak adalah pengalaman yang tiada siapa berhak minta.”

Pada masa itu, Tyson menafikan masalah kesihatannya ‘radang ulser’ sebagai punca dan kekal positif mengenai pertarungan dengan Paul.

Paul turut memuat naik di X, memuji jumlah penonton dan memberi petunjuk tentang pertarungan seterusnya.

“Rekod baharu. Sayang kau, Mike,” tulis Paul di X. “Angka tak pernah menipu. Pengumuman akan datang…”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top